Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai JTC Corporation, mantan penyelia mengaku bersalah sebabkan hutan Kranji dibersihkan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang pegawai Perbadanan JTC dan bekas penyelianya mengaku bersalah pada Jumaat (4 Nov) atas peranan mereka menyebabkan pokok-pokok ditebang secara haram di hutan di Kranji.
Mereka melakukan demikian kerana projek pembangunan di kawasan tersebut tergendala disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda. Lantas, mereka bimbang projek itu akan berlarutan sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Taman Negara (NParks).

Sebanyak 362 pokok ditebang sebelum langkah diambil bagi menguruskan hidupan liar di kawasan berkenaan.

Chong Pui Chih, 47 tahun, mengaku bersalah atas tiga tuduhan. Empat lagi tuduhan akan diambil kira ketika menjatuhkan hukuman. Dia merupakan timbalan pengarah di JTC ketika itu dan sudahpun meninggalkan syarikat tersebut.

Neo Jek Lin, 44 tahun, pegawai bawahan Chong, mengaku bersalah terhadap empat tuduhan. Empat tuduhan lain diambil kira ketika menjatuhkan hukuman. Dia merupakan pengurus kanan projek dengan syarikat JTC dan sedang digantung tugas buat masa ini.

Mahkamah diberitahu bahawa Pemerintah mengumumkan pada Mac 2019 bahawa sebidang tanah di Kranji Close dan Jalan Kranji akan diketepikan bagi pembangunan Taman Inovasi Agri-Makanan.

Taman tersebut dijangka menempatkan kegiatan pertanian dan penyelidikan serta pembangunan berteknologi tinggi seperti kilang tanaman tertutup, ladang serangga dan kemudahan pengeluaran makanan haiwan.
LATAR BELAKANG KESALAHAN

JTC dilantik sebagai pemilik projek dan agensi pembangunan bagi taman tersebut. Syarikat itu perlu melibatkan perunding dan kontraktor untuk merancang, mereka bentuk dan menjalankan kerja-kerja berkaitan.

Tapak Kranji itu sebesar 18.4 hektar - iaitu sekitar 26 padang bola sepak yang dibahagikan kepada 10 plot.Pembangunan yang dirancang memerlukan pokok sedia ada ditebang, tetapi kelulusan diperlukan untuk menebang mana-mana pokok dengan lilitan melebihi 1 meter.

Pada 22 Julai 2019, individu yang berkelayakan dalam projek itu menghantar satu set rancangan bagi tapak itu dengan rancangan tinjauan pokok kepada NParks, bagi mendapatkan kelulusan menebang pokok di tiga plot: Plot 4,5 dan 9.

NParks memberi responsnya pada 1 Ogos 2019, meminta rancangan terkini penebangan pokok dan semua laporan berkaitan dengan kerja-kerja tanah yang dicadangkan dan jalan-jalan raya baru.

NParks meluluskan laporan penebangan pokok bagi plot 4,5 dan 9 pada 29 Ogos 2019.

Namun, NParks dalam perbincangan dengan pegawai tersebut mendapati seluruh projek pembangunan itu melibatkan sebatang longkang sementara dibentuk untuk menyalurkan air ke Sungei Pang Sua berdekatan.

NParks bimbang tentang kesan buruk terhadap alam sekitar, akibat kegiatan binaan di kawasan itu.

Lantaran itu, NParks mengarakan mereka yang terlibat dalam projek itu untuk memberi penjelasan berhubung kesan projek itu terhadap alam sekitar, serta saranan untuk menangani kesan tersebut.

Individu berkelayakan itu berunding dengan Chong dan individu lain yang dituduh bersama sebelum menyerahkan borang yang diperlukan kepada NParks pada 5 Ogos 2020.

Pada 21 Ogos 2020, NParks memberikan jawapannya kepada borang laporan itu, menyatakan bahawa pembangunan yang dicadangkanitu akan mengakibatkan kawasan hutan yang penting dibersihkan, sekali gus berpotensi menyebabkan hidupan liar kehilangan tempat tinggal sekiranya langkah-langkah sesuai tidak dikuatkuasakan.

Oleh sebab bimbang projek itu akan tergendala dengan lebih lanjut disebabkan pandemik COVID-19, Chong dan Neo memutuskan untuk terus dengan kerja-kerja penebangan pokok dan pemugaran tapak, sedang mereka cuba untuk memenuhi keperluan borang yang dihantarkan sebelum ini.

Insiden tersebut mendapat perhatian awam apabila seorang pengguna Facebook bermana Brice Li memuat naik gambar yang menunjukkan sebidang tanah yang sudah dibersihkan di kawasan itu pada 14 Februari tahun lalu.

Dua hari kemudian, JTC menyatakan kawasan tanah yang dikenal pasti bagi Taman Inovasi Agri-Makanan Kranji telah 'tersilap' dibersihkan.

Ia mengarahkan kontraktor projek itu segera menghentikan semua kerja dan memberi amaran tegas kepada firma tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Nicholas Khoo meminta denda S$34,000 dikenakan ke atas Neo dan denda S$28,000 bagi Chong.

Kedua-duanya akan kembali ke mahkamah pada satu tarikh kelak untuk mendengar hukuman mereka.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan