Pegawai JTC beri 'maklumat tidak tepat' mengenai pembersihan hutan Kranji; kes dirujuk ke AGC
SINGAPURA: Dua pegawai daripada JTC Corporation memberikan "maklumat tidak tepat" kepada pihak atasan mengenai bidang tanah di Kranji yang dibersihkan secara silap.
Ini menyebabkan kenyataan parlimen yang dibentangkan pada Februari tahun lalu juga tidak tepat.
Menteri Pendidikan, Chan Chun Sing yang merupakan Menteri Perdagangan dan Perusahaan pada waktu kejadian, memberikan maklumat terkini mengenai kejadian itu di Parlimen pada Khamis (10 Mac). Beliau membetulkan kenyataan sebelum ini yang dibuat di Parlimen, sambil berkata ia berdasarkan maklumat yang diberikan oleh para pegawai.
Kes itu sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara(AGC) untuk mempertimbangkan sama ada sebarang pertuduhan harus dibawa ke mahkamah.
Encik Chan pada Februari 2021 membentangkan garis masa bagaimana kawasan hutan Kranji di Koridor Kereta Api dibersihkan menjelang penilaian kesan persekitaran (EIA).
Tanah itu adalah sebahagian daripada 18 hektar yang diperuntukkan untuk fasa pertama pembangunan Taman Inovasi Agro-Makanan. Ia tidak sengaja dibersihkan oleh Huationg, iaitu kontraktor JTC Corp.
Encik Chan memaklumkan dalam butiran terkini pada Khamis (10 Mac) bahawa perkara itu sudah dimuktamadkan dan kesimpulannya akan dibentangkan kepada menteri-menteri yang relevan awal minggu ini.
Pada Khamis, Encik Chan membetulkan kenyataan yang sudah diberikan sebelum ini.
Tahun lalu, beliau berkata bahawa pembersihan tanpa kebenaran di 4.5 hektar tapak itu dijalankan antara hujung Disember 2020 dengan 13 Januari 2021.
Siasatan lanjut mendapati pembersihan tanah itu bermula sebelum Disember 2020 dan kawasan lain seluas sekurang-kurangnya 2.8 hektar sudah dibersihkan tanpa kebenaran daripada
Lembaga Taman Negara (NParks).
Encik Chan juga berkata sebelum ini bahawa pembersihan tanah tanpa kebenaran itu diketahui oleh pengurus projek JTC pada 13 Januari 2021. Namun, siasatan mendapati pengurus projek dan timbalan pengarah JTC mengetahui mengenai pembersihan itu sebelum Januari 2021.
Encik Chan juga membetulkan kenyataan sebelum ini bahawa kontraktor belum dibayar.
Jabatan di JTC yang memproses pembayaran tidak menyedari bahawa kebenaran untuk pembersihan belum diberikan.
Pegawai JTC tidak ada niat untuk memberikan maklumat yang salah, kata Encik Chan.
Encik Chan menekankan kepada Anggota Parlimen bahawa kenyataan yang diberikan pada Khamis berdasarkan siasatan polis.
Biro Siasatan Amalan Rasuah juga sudah diminta untuk menyiasat kes tersebut dan ia mengesahkan bahawa tidak ada rasuah yang berkaitan dengan kes tersebut, kata Encik Chan.
Encik Chan juga berkata bahawa selain kemungkinan prosiding mahkamah, para pegawai akan dikenakan tindakan disiplin.
JTC memberikan kenyataan pada Khamis (10 Mac) bahawa Lembaga Pengarah JTC akan memanggil panel disiplin untuk mengusulkan tindakan disiplin yang sesuai untuk para pegawai serta penyelia kanan jika mereka melanggar tugas mereka.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI)mengatakan bahawa kementeriannya "memandang serius dan tegas terhadap kejadian ini".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.