Pegawai ICA mengaku bersalah minta layanan seksual dari pesalah imigresen
Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jumaat (28 Dis) mengaku mendapat ganjaran seksual daripada wanita-wanita yang diberkas atas kesalahan imigresen.
SINGAPURA: Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jumaat (28 Dis) mengaku mendapat ganjaran seksual daripada wanita-wanita yang diberkas atas kesalahan imigresen.
Staf Sarjan Chin Peng Sum, 51 tahun, juga mendedahkan maklumat mengenai serbuan yang bakal dilancarkan ICA kepada tiga wanita dari China yang dikenalinya semasa menjalankan tugas.
Chin, yang sudah bertugas di ICA selama sekitar 20 tahun, mengaku bersalah atas pelbagai tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan Akta Rahsia Rasmi, serta tuduhan-tuduhan lain kerana menghalang proses keadilan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Chin bertemu dengan tiga wanita dari China semasa menjalankan tugas - yang termasuk menjalankan operasi untuk memberkas pesalah imigresen - antara hujung 2016 hingga awal 2017.
Ketiga-tiga wanita - Zhu Shirong, Wang Chenghong dan Tang Yuanyuan - diberkas atas kesalahan imigresen dan mereka menggunakan Pas Khas semasa kes mereka sedang disiasat.
Chin menghubungi wanita-wanita tersebut dari semasa ke semasa dan memberitahu mereka bahawa dia berada dalam kedudukan untuk menyarankan agar Pas Khas mereka dilanjutkan bagi membolehkan mereka untuk terus berada di Singapura setelah kes-kes mereka dimuktamadkan.
Polis menemui pesanan-pesanan daripada Chin kepada Zhu mengenai serbuan-serbuan ICA, serta pertanyaan mengenai khidmat urut.
Setelah Chin mendedahkan bahawa siasatan sudah bermula, dia menghubungi Wang dan memberitahunya supaya memadamkan mesej sulit di WeChat antara mereka berdua dan dia juga memadamkan pesanan-pesanan yang dihantarkan kepada ketiga-tiga wanita itu.
Pihak pendakwa meminta hukuman penjara antara 24 bulan hingga 28 bulan, sambil menekankan bahawa Chin adalah seorang pegawai kanan penguat kuasa undang-undang.
Dia akan dihadapkan ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman pada bulan depan.
ICA sebelum ini menyatakan bahawa ia sudah melaporkan Chin kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah dan dia sudah digantung tugas sejak Jun tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.