Skip to main content

Singapura

Pegawai ICA dipenjara kerana mendapatkan ganjaran seksual daripada pesalah imigresen

Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang melanggar undang-undang dengan mendapatkan ganjaran seksual daripada wanita-wanita yang diberkas atas kesalahan imigresen, dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun pada Rabu (2 Jan).  

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai ICA dipenjara kerana mendapatkan ganjaran seksual daripada pesalah imigresen

Chin Peng Sum (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 02 Jan 2019 09:10PM Dikemas Kini : 02 Jan 2019 09:14PM

SINGAPURA: Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang melanggar undang-undang dengan mendapatkan ganjaran seksual daripada wanita-wanita yang diberkas atas kesalahan imigresen, dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun pada Rabu (2 Jan).

Staf Sarjan Chin Peng Sum, 51 tahun, turut memberikan maklumat kepada tiga wanita dari China itu mengenai serbuan-serbuan yang bakal dijalankan kerana mahu menunjukkan bahawa dia melindungi mereka.

Menyifatkan kes tersebut sebagai "amat tidak menyenangkan", Hakim Daerah Jasbendar Kaur berkata bahawa terdapat "salah guna kuasa dan kepercayaan yang besar".

Chin, yang bekerja dengan pihak berkuasa selama kira-kira 20 tahun, melemahkan kawalan imigresen ICA dan bertindak secara berterusan dan sengaja, menurutnya.

Chin berjumpa dengan ketiga-tiga wanita itu antara hujung 2016 dengan awal 2017 apabila dia masih bertugas. Wanita-wanita itu diberkas atas kesalahan imigresen dan memegang Pas Khas semasa kes mereka disiasat.

Dia menghampiri kedua-dua mereka untuk mendapatkan khidmat urut dan ganjaran seksual serta memberitahu ketiga-tiga wanita itu tentang serbuan-serbuan yang akan diadakan kerana dia tidak mahu mereka diberkas.

Hanya setelah salah seorang daripada tiga wanita itu diberkas atas kegiatan jenayah, barulah mesej-mesej mendedahkan penglibatan Chin ditemui, tambah Hakim Daerah.

Menurutnya, kesalahan Chin dan bahaya yang timbul akibat perbuatannya itu amat serius.

Beliau mengambil kira rayuan Chin agar hukuman dikurangkan, yang menyenaraikan beberapa anugerah yang diterimanya semasa berkhidmat dengan ICA dan juga rasa kesal di atas tindakannya.

Bagaimanapun, oleh kerana faktor-faktor memberatkan dalam pertimbangan hukuman, beliau mendapati "tiada faktor meringankan yang signifikan".

Menurut hakim, tindakan Chin mengakibatkan proses keadilan dihalang dan "kes ini mendapat perhatian meluas dari orang awam".

Tindakan "penjawat awam menyalahgunakan kepercayaan yang diberi kepada mereka tidak boleh diterima langsung" dan dalam kes-kes sedemikian, "mahkamah perlu menunjukkan pendirian tegas dan tidak berkompromi", tambahnya.

Hakim membenarkan Chin berbual selama lima minit dengan keluarganya setelah perbicaraan itu, sebelum hukuman dijatuhkan.

Dalam satu kenyataan, ICA menyatakan Chin sudah digantung daripada tugas sejak Jun 2017.

Setelah dia didapati bersalah minggu lalu, pihak berkuasa menyatakan bahawa ia akan memulakan prosiding disiplin perkhidmatan awam terhadapnya, dengan tujuan memecatnya daripada perkhidmatan. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita