Skip to main content

Singapura

Pegawai ICA dipenjara 22 bulan; minta layanan seks sebagai ganjaran bantu lanjutkan tempoh pas lawatan

Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang mendapatkan layanan seks sebagai ganti membantu warga asing dengan permohonan pas lawatan mereka dikenakan hukuman penjara 22 bulan pada Khamis (11 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai ICA dipenjara 22 bulan; minta layanan seks sebagai ganjaran bantu lanjutkan tempoh pas lawatan

Kannan Morice Rajagopal Jayaram di Mahkamah Negara pada 14 Dis 2023. (Gambar: TODAY/Nuria Ling)

SINGAPURA: Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang mendapatkan layanan seks sebagai ganti membantu warga asing dengan permohonan pas lawatan mereka dikenakan hukuman penjara 22 bulan pada Khamis (11 Sep).

Kannan Morice Rajagopal Jayaram, 55 tahun, digantung kerja selepas didapati bersalah pada Julai. ICA menyatakan ia akan mulakan prosiding disiplin terhadapnya.

TUDUHAN RASUAH

Kannan mengaku bersalah ke atas tiga tuduhan menerima ganjaran dalam bentuk layanan seks.

Lagi tiga tuduhan serupa diambil kira dalam menentukan hukuman.

Dia mula bertugas dengan ICA pada 1996 dan menjadi seorang inspektor pada tahun 2021.

Sebagai ketua pasukan Unit Pas Lawatan, dia menyelia seramai 10 hingga 11 pegawai dan mempunyai budi bicara untuk meluluskan permohonan melanjutkan tempoh pas lawatan jangka pendek.

Walaupun dia menyedari ia satu kesalahan untuk menghubungi para pemohon dan bertemu dengan mereka atas tujuan mendapatkan layanan seks, dia tetap melakukan demikian pada 2022 dan 2023 dengan tiga warga India, berusia antara 25 dengan 30 tahun.

MAHASISWA BERUSIA 25 TAHUN

Salah seorang mangsa yang merupakan mahasiswa berusia 25 tahun, memohon supaya pas sementaranya dilanjutkan sementara beliau menantikan permit kerja.

Beliau berjumpa dengan Kannan di rumahnya selepas dimaklumkan bahawa dia boleh membantunya.

Mereka minum bir dan Kannan meluahkan rasa minat terhadapnya.

Lelaki itu bersetuju, "kerana beliau tahu Kannan adalah seorang pegawai ICA dan dia boleh membantunya untuk melanjutkan tempoh pas lawatannya."

Lelaki itu beredar setengah jalan namun masih tetap menghantar mesej kepada Kannan untuk mengelak menimbulkan kemarahannya.

Apabila tempoh pas lawatannya luput, Kannan mengarahkannya supaya melaporkan diri ke ICA dengan dokumen yang diperlukan dan memaklumkan kepadanya apabila beliau sedang beratur.

Walaupun seorang pegawai lain yang mengendalikan kes itu, Kannan mengarahkan supaya permohonannya diluluskan walaupun ia bermakna lelaki itu berada di Singapura melebihi tempoh yang dibenarkan.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara selama 30 hingga 36 bulan sambil menyifatkannya sebagai "kes yang menjengkelkan.

"Demi membantu mereka, tertuduh mendedahkan maklumat sensitif operasi dan menyalahgunakan kedudukan pengurusannya."

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 22 bulan ke atas Kannan.

Dia akan mula menjalani hukuman penjara pada 18 September.
Sumber : CNA/AY/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita