Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai ICA 'bekerja keras' pastikan proses imigresen di Koswe lancar: Shanmugam

Jumlah perjalanan antara Singapura dengan Malaysia melalui pusat-pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands meningkat kepada 430,000 sehari dalam tempoh hujung tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Dec 2018 05:17PM Dikemas Kini : 28 Dec 2018 12:54AM

SINGAPURA: Jumlah perjalanan antara Singapura dengan Malaysia melalui pusat-pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands meningkat kepada 430,000 sehari dalam tempoh hujung tahun ini.

Jumlah itu kira-kira 10 peratus lebih tinggi daripada purata biasa.

Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam berkongsi perkara itu dengan pihak media semasa lawatannya ke Pusat Pemeriksaan Woodlands hari ini (27 Dis).

Encik Shanmugam berkata kekurangan tenaga manusia merupakan cabaran besar bagi Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada masa-masa amat sibuk, sehingga mengakibatkan kesesakan teruk baru-baru ini.

Beliau memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa ICA sedang melakukan yang termampu menggunakan sumber-sumber yang ada, bagi memastikan proses imigresen berjalan lancar. Encik Shanmugam turut menjelaskan bahawa adakalanya, beberapa kaunter ditutup atas alasan munasabah.

"ICA, semasa tempoh ini, kurangkan cuti kepada maksimum 10 peratus," kata Encik Shanmugam.

"Minggu lalu sahaja, lebih 500 pegawai perlu melakukan kerja lembur. Mereka bekerja keras. Orang ramai kadangkala melihat beberapa kaunter ditutup. Mengapa ini berlaku?

"Pertama, seperti di beberapa daerah lain di Singapura, kami tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi, dan hanya rakyat Singapura yang boleh memikul tugas ini. Dengan tenaga kerja yang ada dan pekerja yang dipanggil bekerja lembur, kami kerahkan mereka mengikut tempat dengan permintaan tertinggi. Maka itu, kami mungkin mengurangkan sedikit para pegawai di tempat ketibaan dan menghantar mereka ke tempat berlepas atau sebaliknya," jelas Encik Shanmugam.

Beliau selanjutnya berkata bahawa pemerintah sedang menyiapkan rancangan jangka pertengahan dan panjang untuk menghuraikan isu-isu tersebut - dengan teknologi sebagai jalan keluar utamanya.

Apabila ditanya jika ada langkah-langkah untuk menangani senario-senario penggunaan dron memasuki kawasan pusat pemeriksaan Woodlands, seperti yang sudah berlaku di Lapangan Terbang Gatwick di London baru-baru ini, Encik Shanmugam berkata bahawa pemerintah sedar akan risiko itu.

"Ada beberapa bidang yang berisiko lebih tinggi berbanding lain. Misalnya, semasa pelbagai sidang puncak yang diadakan tahun ini, kami melaksanakan beberapa langkah. Kami sedar akan risiko penggunaan dron sejak kebelakangan ini dan sedang mencari huraian untuk mengatasinya."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan