Pegawai hartanah Kondominium Sherwood, pengarah syarikat keselamatan didenda kerana rasuah
Seorang pegawai hartanah dan pengarah sebuah firma keselamatan didenda dalam satu kes rasuah melibatkan pemberian kontrak khidmat keselamatan di Kondominium Sherwood.

(Gambar: Google Maps)
SINGAPURA: Seorang pegawai hartanah dan pengarah sebuah firma keselamatan didenda dalam satu kes rasuah melibatkan pemberian kontrak khidmat keselamatan di Kondominium Sherwood.
Alvin Koh Lai Heng, seorang kakitangan Smart Property Management (Singapore) yang ditempatkan di Kondomium Sherwood semasa kesalahan itu dilakukan, didenda S$4,500 dan didenda S$1,300 pada Jumaat (13 Ogos), menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).
Pada Julai 2018, Koh menghubungi beberapa penyedia khidmat keselamatan untuk mendapatkan sebutan harga bagi kontrak khidmat keselamatan di Kondominium Sherwood, menurut agensi itu dalam satu kenyataan media.
Salah satu syarikat itu adalah Cominco, yang pengarahnya pada masa kesalahan itu adalah Gopalakrishnan Venkatesan.
Siasatan CPIB mendedahkan bahawa Koh mengaturkan pada bulan yang sama, lawatan ke kondominium Sherwood dan makan tengah hari bersama Gopalakrishnan untuk membincangkan keperluan khidmat keselamatan itu.
"Sewaktu makan tengah hari, Koh dengan Gopalakrishnan membincangkan sama ada Koh dapat membantu Cominco untuk mendapatkan kontrak perkhidmatan keselamatan Sherwood Condominium dengan mencadangkan Cominco kepada Perbadanan Pengurusan Majlis Pengurusan Hak Milik Strata (MCST)," menurut CPIB.
"Sebagai ganjaran, Koh akan mendapat komisen daripada Gopalakrishnan sekiranya Cominco dianugerahkan kontrak pekhidmatan keselamatan di Kondominium Sherwood."
Pada Ogos tahun yang sama, atas cadangan Koh, Cominco telah dianugerahkan dua kontrak perkhidmatan keselamatan bernilai S$211,400 di Kondominium Sherwood.
Selepas itu, Koh menerima komisen berjumlah S$1,300 daripada Gopalakrishnan, sebanyak dua kali, menurut CPIB.
Kedua-duanya didakwa pada 25 Jun 2021. Gopalakrishnan didenda S$3,900 kerana rasuah pada Rabu (11 Ogos).
"Singapura mengambil pendekatan tegas toleransi sifar terhadap rasuah. Sesiapa yang didapati bersalah atas kesalahan rasuah boleh didenda sehingga S$100,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya," menurut CPIB.
Ia menambah bahawa orang awam dan majlis pengurusan MCST perlu terus berwaspada dan melaporkan sebarang kesalahan rasuah kepada CPIB atau kesalahan penipuan yang disyaki kepada polis.
Maklum balas dari MCST berhubung Akta Pengurusan Strata dan Penyenggaraan Bangunan harus dilaporkan kepada Penguasa Bangunan dan Binaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.