Skip to main content

Singapura

Pegawai eksekutif DHL, Tetra Pak didakwa terima rasuah S$400,000

Dua lelaki didakwa menerima rasuah berjumlah lebih S$400,000 bagi memajukan kepentingan perniagaan firma logistik  dengan DHL dan Tetra Pak. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai eksekutif DHL, Tetra Pak didakwa terima rasuah S$400,000

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 08 Dec 2021 05:53PM Dikemas Kini : 08 Dec 2021 05:55PM

SINGAPURA: Dua lelaki didakwa menerima rasuah berjumlah lebih S$400,000 bagi memajukan kepentingan perniagaan firma logistik dengan DHL dan Tetra Pak.

Edmund Hoon Wai Kein merupakan pegawai eksekutif kanan Rangkaian Bekalan DHL Singapura manakala Kelvin Tan, bekerja sebagai pegawai eksekutif kanan Jurong, ketika kesalahan itu didakwa berlaku antara Julai 2019 dengan Jun 2020.

Kedua-dua lelaki disyaki menerima wang sebagai ganjaran untuk memajukan kepentingan perniagaan Likok Logistik dengan DHL dan Tetra Pak, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan media.

Mereka masing-masing berdepan dengan tiga tuduhan rasuah dengan Hoon menghadapi tuduhan tambahan berkaitan menerima wang pinjaman.

Hoon dan Tan juga dituduh berpakat untuk menyiapkan invois palsu. Masing-masing didakwa memalsukan akaun di bawah Kanun Keseksaan dengan Kelvin Tan dikenakan tuduhan tambahan.

Tiga pekerja firma Likok Logistik juga didakwa berkaitan dengan kesalahan terbabit. Mereka ialah Chee Peng Chun, pengurus besar firma itu serta Tan Hook Beng dan Tan Pei Fung, kedua-duanya memegang jawatan pengarah urusan.

Chee dituduh menerima ganjaran bernilai S$270,000 manakala Tan Hook Beng dan Tan Pei Fung, masing-masing didakwa memberi ganjaran S$98,000 dan S$382,000.

WANG SOGOK DARI PEMANDU LIKOK LOGISTIC

Chee, 50 tahun, berdepan dengan enam lagi tuduhan rasuah kerana disyaki menerima sogokan daripada pemandu-pemandu Likok Logistik antara 2017 dengan 2020.

Sogokan itu didakwa bagi tawaran pekerjaan serta memberi mereka lebih banyak tugasan, kata CPIB.

Chee juga disyaki menghasut seorang lagi pekerja Likok Logistik untuk menerima wang sogokan daripada seorang pemandu.

Secara berasingan, Chee dan Kelvin Tan masing-masing berdepan dua tuduhan menipu dan secara tidak jujur mendorong penghantaran harta benda antara 2019 dengan 2020.

Seorang lagi lelaki, Seng Joo Meng Andrew, pengarah firma H&P Service ketika itu, berdepan tiga tuduhan menipu.

"Singapura mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap amalan rasuah dan kegiatan jenayah lain," tegas CPIB.

Jika sabit kesalahan rasuah, mereka boleh dikenakan denda hingga S$100,000, dipenjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan memalsukan akaun, menipu dan secara tidak jujur mendorong penghantaran harta benda, ialah hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.  

Sumber : CNA/NY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita