Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai CNB dihukum penjara 18 bulan; tukar sampel air kencing ujian dadah

Seorang pegawai veteran Biro Narkotik Pusat (CNB) dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan kerana menukar sampel air kencing seorang lelaki dengan air kencingnya sendiri supaya dapat elak menyiapkan kertas laporan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai CNB dihukum penjara 18 bulan; tukar sampel air kencing ujian dadah

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 03 Aug 2020 07:19PM Dikemas Kini : 03 Aug 2020 07:22PM

SINGAPURA: Seorang pegawai veteran Biro Narkotik Pusat (CNB) dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan kerana menukar sampel air kencing seorang lelaki dengan air kencingnya sendiri supaya dapat elak menyiapkan kertas laporan.

Mohamed Hafiz Lan, 41 tahun, yang sudah berkhidmat selama 21 tahun mengaku bersalah pada Isnin (3 Ogos), atas satu tuduhan menghalang proses keadilan.
Dua lagi pegawai CNB - Staf Sarjan Abdul Rahman Kadir dan Sarjan Muhammad Zuhairi Zainuri - didakwa bersamanya pada tahun lalu. Kes mereka masih menunggu untuk dibicarakan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap CNB berkata ketiga-tiga lelaki itu digantung kerja tanpa gaji sejak Julai tahun lalu.

"CNB tidak bertolak ansur terhadap sebarang perbuatan salah laku oleh pegawai kami, dan kami memandang serius akan sebarang aduan atau dakwaan yang dibuat mengenai proses ujian air kencing yang tidak dilakukan dengan betul," tambah jurucakap berkenaan.

Mahkamah diberitahu bahawa ketiga-tiga pegawai itu melakukan kesalahan tersebut pada 15 Ogos 2018.

APA YANG BERLAKU

Pada sekitar pukul 9.00 malam hari tersebut, pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menahan Maung Moe Min Oo, seorang rakyat Singapura dan seorang wanita warga Thailand berusia 26 tahun di Pusat Pemeriksaan Woodlands sedang mereka cuba memasuki Singapura.

Ujian swab mendapati kedua-duanya mungkin mengambil dadah sebelum itu. ICA kemudian merujukkan mereka kepada CNB.

Maung enggan menjalani ujian air kencing dan meminta untuk bercakap dengan Abdul Rahman secara peribadi.

Pegawai itu membawanya ke sebuah bilik temu bual di mana dia meminta Abdul Rahman untuk membantunya lulus ujian air kencing.

Dia memberitahu Abdul Rahman bahawa dia mungkin gagal ujian itu kerana dia telah "berada di dalam bilik dengan seseorang yang menghisap metamfetamin dan mungkin terhidu asapnya," kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Thiagesh Sukumaran di mahkamah.

Sebenarnya, Maung sendiri telah mengambil dadah tersebut.

Sedang Abdul Rahman dan Maung membincangkan perkara itu, Zuhairi yang turut berada di situ, keluar dari bilik tersebut dan memberitahu Hafiz bahawa Maung kelihatan enggan bekerjasama.

DPP Thiagesh berkata: "Dengan pengetahuan bahawa proses mendapatkan sampel air kencing daripada Maung akan mengambil masa, Zuhairi mencadangkan kepada Hafiz mereka boleh mengubah sampel air kencing Maung dengan sampel yang lain.

"Ini akan mempercepatkan proses pelepasan Maung dari pejabat CNB tanpa tindakan lanjut diambil terhadap Maung."

Apabila Maung diuji negatif bagi dadah dalam ujian air kencing, dia meninggalkan Singapura dengan wanita Thailand berkenaan, yang ujian air kencingnya juga negatif.

Namun, Maung memasuki semula ke Singapura pada keesokan harinya dan ditahan sekali lagi namun oleh sebuah pasukan CNB berlainan. Dia memberitahu mereka bahawa Abdul Rahman membantunya untuk lulus ujian air kencing pada malam sebelumnya.

Maung kemudian dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah kerana mengambil dadah.

Semasa menjatuhkan hukuman ke atas Hafiz, Hakim Daerah Ow Yong Tuck Leong berkata pegawai penguatkuasa undang-undang yang melakukan kesalahan ketika bertugas boleh menjangkakan hukuman lebih berat, meskipun jika mereka tidak menerima ganjaran wang.

Hafiz boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan