Pegawai Certis Cisco sedia tawarkan lagi khidmat sukarela selepas pulih dari COVID-19
Seorang pegawai Certis Cisco sudah sembuh daripada penyakit COVID-19. Dikenali sebagai kes ke-44, pegawai itu juga adalah penerima pertama Dana Ketabahan.
SINGAPURA: Seorang pegawai Certis Cisco sudah sembuh daripada penyakit COVID-19.
Dikenali sebagai kes ke-44, pegawai itu juga adalah penerima pertama Dana Ketabahan.
Dana tersebut membantu individu-individu dan keluarga yang terjejas oleh virus COVID-19 termasuk pekerja barisan hadapan.
Selepas pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi tekaknya yang bengkak, kes ke-44 terpaksa menjalani tempoh pengasingan diri kerana diuji positif COVID-19.
Sehingga kini, beliau masih tidak tahu bagaimana dirinya dijangkiti virus tersebut.
Bagaimanapun sebagai seorang Ejen Perintah Kuarantin, beliau menyampaikan arahan itu kepada dua penduduk dari Wuhan yang kemudian diuji positif COVID-19.
Tempoh rawatan yang dijalaninya bagi COVID-19 tidak mudah.
"Keadaan demam saya untuk lima hari pertama amat teruk. Suhu badan naik sehingga 39 darjah Celsius dan kemudian turun semula ke paras 37 darjah Celsius sebelum naik semula.
"Keadaan diburukkan lagi kerana saya juga mengalami kesan sampingan ubat dan mengalami cirit-birit," katanya.
Keadaannya mula beransur pulih pada hari keenam.
Beliau amat berterima kasih kepada para doktor dan jururawat.
Mereka amat bersabar dan berusaha sedaya upaya untuk memberi keceriaan kepada beliau termasuk memberinya kek hari jadi.
Sementara itu, ahli keluarga serta rakan-rakan kerja membantu keluarga beliau untuk membeli barangan dapur kerana mereka juga dikenakan kuarantin.
Hari ini merupakan hari pertama beliau kembali bekerja.
Meskipun beliau ingin "menghapuskan" seluruh episod COVID-19 dari hidupanya, beliau berkata, beliau tetap akan secara sukarela menyampaikan arahan kuarantin di rumah jika diminta berbuat demikian.
"(Menyampaikan arahan kuarantin) adalah satu pengalaman yang kita tidak lalui setiap hari," katanya. "Ia adalah satu pengalaman pengajaran yang baik dan saya bangga jika saya dapat membuat sedikit sumbangan kepada negara."
"Jika diberi peluang, saya akan memberi khidmat secara sukarela lagi."
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.