Skip to main content

Singapura

Pegawai certis cedera parah di kepala selepas dilanggar kereta di Pusat Pemeriksaan Tuas

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai certis cedera parah di kepala selepas dilanggar kereta di Pusat Pemeriksaan Tuas

Pusat Pemeriksaan Tuas di Singapura. (Gambar: Facebook/ICA)

Diterbitkan : 24 Mar 2023 09:04AM
SINGAPURA: Seorang pegawai polis tambahan (APO) cedera parah di kepala selepas beliau dilanggar sebuah kereta di Pusat Pemeriksaan Tuas pada awal pagi Jumaat (24 Mac).

Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan pada Jumaat bahawa pihaknya dimaklumkan sekitar pukul 12.55 pagi mengenai insiden itu, yang melibatkan sebuah kereta berdaftar di Singapura.

"Siasatan awal mendedahkan bahawa pemandu kereta memandu pada kelajuan yang tinggi sebelum melanggar pegawai polis tambahan yang sedang bertugas di luar pondok pemantauan di pintu masuk zon keberangkatan kereta di Pusat Pemeriksaan Tuas," menurut ICA dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Polis Trafik dikerah ke tempat kejadian dengan serta-merta. Pegawai itu, yang merupakan kakitangan Certis, dan pemandu terbabit dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH).

ICA dan Certis sedang berhubungan dengan keluarga APO itu untuk menghulurkan sokongan yang diperlukan.

Siasatan polis sedang dijalankan.

ICA menyatakan dalam catatan Facebook sekitar jam 3.00 pagi Jumaat bahawa ketiga-tiga lorong yang menghala ke zon keberangkatan kereta dan motosikal di Pusat Pemeriksaan Tuas ditutup. Ia sebaliknya meminta para pemandu supaya menggunakan lorong keberangkatan keluar kenderaan muatan dan menjangkakan kelengahan dalam pelepasan.

Dalam satu kemas kini sekitar pukul 5.30 pagi tadi, ICA menyatakan semua lorong yang menghala ke pusat pemeriksaan kembali beroperasi sepenuhnya.

Ia turut menasihati para pemandu supaya memeriksa keadaan lalu lintas menerusia laman One Motoring sebelum memulakan perjalanan mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita