Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai awam sudah terima makluman tugas pilihan raya, arahan jalani latihan online

Sebahagian pegawai awam dari pelbagai kementerian dan lembaga berkanun sudah menerima notis pelantikan sebagai pegawai pilihan raya oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) seawal pertengahan Mac lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebahagian pegawai awam dari pelbagai kementerian dan lembaga berkanun sudah menerima notis pelantikan sebagai pegawai pilihan raya oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) seawal pertengahan Mac lagi.

Demikian menurut maklumat yang diterima oleh Mediacorp.

ELD juga meminta beberapa pegawai tersebut supaya mengikuti latihan online untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelantikan mereka dan proses pilihan raya. Mereka juga diminta supaya log masuk ke satu laman ELD bagi para pegawai pilihan raya.

Beberapa pegawai awam menerima emel daripada ELD - sebahagian pada bulan lalu dan sebahagian lagi sepanjang minggu lalu - yang memaklumkan mereka tentang pelantikan tersebut.

Demikian menurut lima pegawai awam kepada Mediacorp atas syarat identiti mereka tidak didedahkan.

Dua daripada mereka mengesahkan sudah menerima makluman tersebut.

Pelantikan terkini itu dilakukan menjelang tarikh luput September 2023 bagi penggal khidmat Presiden Halimah Yacob sebagai presiden.

Puan Halimah, 67 tahun, dilantik sebagai Presiden kelapan Singapura pada 14 September 2017, sehari selepas beliau berjaya memfailkan kertas pencalonan sebagai satu-satunya calon yang layak bagi Pilihan Raya Presiden yang Diperuntukkan pada tahun itu.

Setiap presiden dilantik akan berkhidmat sepanjang penggal enam tahun. Memandangkan tiada had kepada jumlah penggal sebagai presiden, mereka boleh berkhidmat tanpa had penggal.

Walaupun tidak jelas apakah tempoh yang ditetapkan antara makluman ELD kepada para pegawai khidmat awam dengan pilihan raya presiden sebelum ini, bagi Pilihan Raya Umum 2020, para pegawai awam dikerahkan menjalani latihan sekitar 24 bulan sebelum pilihan raya diadakan.

Rangka masa bagi pilihan raya umum sebelum ini adalah sekitar 12 bulan bagi GE2015, sekitar 18 bulan bagi GE2011 dan sekitar 31 bulan bagi GE2006.

Sebelum GE2006, pelantikan dan latihan para pegawai bermula hanya selepas Presiden mengeluarkan Writ Pilihan Raya, iaitu dokumen rasmi yang mengisytiharkan permulaan proses pilihan raya.

ELD, yang menyediakan dan mengatur perkhidmatan awam untuk mengendalikan pilihan raya di Singapura, bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan oleh Mediacorp, yang dihantar pada Khamis (7 Apr).

Namun ia menekankan sebelum ini bahawa ia memilih dan melatih para pegawai awam "secara berterusan" untuk mengendalikan tugas-tugas pilihan raya semasa sebuah pilihan raya.

Para pegawai pilihan raya akan diberikan salah satu daripada pelbagai peranan, khususnya sebagai
Penolong Pegawai Pengurus Undi (ARO), Pegawai Pusat Mengundi dan Kakitangan Mengira Undi (CA).

Mereka ditugaskan untuk memantau proses undian di pusat-pusat mengundi, yang lazimnya terletak di sekolah, kelab masyarakat atau kolong blok.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan