Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai awam kanan bebas 5 tuduhan cabul rakan kerja, disabit atas satu dakwaan

Seorang penjawat awam kanan di sebuah badan berkanun dibebaskan daripada lima tuduhan mencabul seorang rakan kerja wanitanya namun disabit kesalahan atas tuduhan keenam kerana mencabul kehormatan seorang wanita kedua.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai awam kanan bebas 5 tuduhan cabul rakan kerja, disabit atas satu dakwaan

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 09 Dec 2020 07:33PM Dikemas Kini : 09 Dec 2020 10:23PM

SINGAPURA: Seorang penjawat awam kanan di sebuah badan berkanun dibebaskan daripada lima tuduhan mencabul seorang rakan kerja wanitanya namun disabit kesalahan atas tuduhan keenam kerana mencabul kehormatan seorang wanita kedua.

Lelaki 67 tahun dan majikannya tidak boleh dinamakan bagi melindungi identiti kedua-dua wanita.

Lelaki itu didapati bersalah pada Rabu (9 Dis) kerana memeluk rakannya yang berusia 55 tahun semasa berada di tempat kerja pada Jun 2016. Dia memeluknya dengan erat sehingga dada wanita itu tertekap pada badannya, menurut dokumen mahkamah.

Namun, lelaki itu dibebaskan daripada tuduhan mencabul seorang rakan sekerja 43 tahun sebanyak lima kali di tempat kerjanya.

Dia didakwa memeluk wanita lebih muda itu dengan erat, mencubit punggung dan menekan bahagian kelengkangnya ke bahu wanita tersebut.

Kedua-dua wanita itu adalah orang bawahan tertuduh. Dia adalah penyelia terdekat wanita yang lebih muda.

Dalam menyampaikan keputusannya, Hakim Daerah John Ng berkata beliau berpuas hati bahawa kedua-dua wanita itu berkata benar semasa mereka mengatakan bahawa ada hubungan fizikal yang tidak diingini dengan tertuduh, tetapi beliau tidak dapat memutuskan tanpa sebarang keraguan munasabah bahawa tertuduh bersalah berkaitan dakwaan melibatkan wanita yang lebih muda.

Oleh kerana tiada saksi bebas terhadap dakwaan insiden tersebut, mahkamah harus berpuas hati bahawa kedua-dua wanita itu bercakap benar tentang setiap kejadian yang berlaku dan pencabulan berlaku sepertimana yang diceritakan oleh mereka.

Adalah "tidak selamat" untuk menetapkan bahawa lelaki itu bersalah atas lima tuduhan yang melibatkan wanita yang lebih muda, kata hakim, sambil merujuk kepada beberapa kenyataan polis tidak konsisten yang dibuat oleh wanita itu serta kegagalannya untuk memberi penjelasan mencukupi.

"Begitu juga dengan tertuduh,terdapat juga bahagian yang tidak konsisten dalam kenyataannya kepada polis," kata Hakim Ng.

"Pada pandangan saya (wanita itu) tidak membuat cerita tentang interaksi yang tidak menyenangkan dengan tertuduh. Beliau merasa diganggu secara seksual," kata Hakim Ng. "Beliau tidak menerima pelukan tertuduh yang membuatnya tidak selesa tetapi memilih untuk mengetepikan dan melupakannya."

Tertuduh, yang dibela oleh peguam Drew & Napier, akan kembali ke mahkamah untuk membuat rayuan hukuman ringan dan penetapan hukuman pada Januari.

Atas kesalahan mencabul kehormatan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya. Dia tidak boleh dirotan kerana berusia lebih 50 tahun.

Dia menghadapi tiga tuduhan lain yang diketepikan buat sementara, berkaitan dengan perjalanan ke luar negara yang melibatkan wanita lebih tua itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan