Skip to main content

Singapura

Pegawai akaun dipenjara 18 tahun kerana seleweng S$46 juta

Seorang bekas pegawai akaun menyelewengkan S$46 juta selama tujuh tahun, untuk membiaya tabiat judinya yang begitu boros sehingga dia menaruh lebih S$100,000 di Singapore Pools setiap minggu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai akaun dipenjara 18 tahun kerana seleweng S$46 juta

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 08 Feb 2019 12:24AM Dikemas Kini : 08 Feb 2019 12:28AM

SINGAPURA: Seorang bekas pegawai akaun menyelewengkan S$46 juta selama tujuh tahun, untuk membiaya tabiat judinya yang begitu boros sehingga dia menaruh lebih S$100,000 di Singapore Pools setiap minggu.

Pada Khamis (7 Feb), Richard Tiang Teng Hoong, 69 tahun, dijatuhi hukuman penjara 18 tahun, selepas didapati bersalah atas 15 pertuduhan termasuk jenayah pecah amanah dan menggunakan pendapatan secara haram.

Pihak pendakwa menyifatkan kes itu sebagai "pecah amanah jenayah paling teruk yang mengakibatkan kerugian terbesar dalam sejarah jenayah kewangan Singapura".

Antara 2007 dan 2014, Tiang secara keseluruhannya menyelewengkan kira-kira S$46.2 juta menerusi 300 caruman dari akaun bank HSBC dari empat syarikat yang diuruskan oleh syarikat di mana dia bekerja, Double Ace Trading Company.

Dia melakukan ini dengan mengeluarkan baucar pembayaran palsu dan mendapatkan tanda tangan di cek kosong atas alasan urusan niaga.

BUANG DUIT UNTUK JUDI

Menurut dokumen mahkamah, Tiang kerap buat pertaruhan bernilai melebihi S$100,000 di Singapore Pools setiap minggu. Dia juga ke kasino di Resorts World Sentosa kira-kira tiga kali seminggu, membelanjakan S$20,000 bagi setiap kunjungan.

Dia ditangkap hanya selepas Pejabat Aduan Urus Niaga Mencurigakan, di bawah Jabatan Ehwal Komersil (CAD) polis, mula menyiasat kes itu.

Pihak polis merampas wang dan harta bendanya, dan Tiang turut menyerahkan wang hasil penjualan kereta, saham dan sebuah unit kondominium.

Jumlah yang dirampas atau diserahkan kembali bernilai sekitar S$2.9 juta, atau kira-kira 6.3 peratus daripada wang yang disalahgunakan Tiang dalam tempoh tujuh tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Nicholas Lim memohon hukuman penjara sekurang-kurangnya 18 tahun, seraya berkata bahawa "tidak banyak kes sebelum ini yang menghampiri jumlah yang terlibat dalam kes ini, bahkan lebih sedikit lagi dalam tempoh sedekad yang lalu".

USIA SUDAH LANJUT, PEMBELAAN RAYU RINGANKAN HUKUMAN

Peguam Tiang, Paul Loy sebaliknya merayu tempoh penjara 14 tahun, atas sebab usia lanjut anak guamnya

Beliau memohon mahkamah agar tidak mengenakan hukuman yang seakan-akan hukuman penjara seumur hidup, kerana ia amat menghancurkan, dan berhujah bahawa Tiang "sedia mengaku bersalah dari saat dia dipanggil untuk siasatan polis".

"Sehingga minggu lalu, dia masih bekerja di (Double Ace)," kata Encik Loy. "Syarikat itu tidak pernah mengadu terhadapnya."

Encik Loy berkata pemulangan wang yang diberikan oleh Tiang, walaupun digambarkan oleh pihak pendakwa sebagai peratusan kecil daripada kerugian kewangan, adalah "semuanya yang dia ada".

JENAYAH TIDAK BERBALOI: HAKIM

Bercakap kepada Tiang, yang dibebaskan dengan ikat jamin S$1 juta, Hakim Daerah Mathew Joseph berkata kes itu "amat menakjubkan" dengan kerugian melebihi S$43 juta yang masih belum diperhitungkan.

Hukuman mesti setimpal, kata beliau, untuk menunjukkan bahawa "jenayah adalah tidak berbaloi" dan Tiang tidak boleh menjalani hukuman ringan dan kemudian dilepaskan untuk menikmati kehidupan mewah.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita