Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai Afrika diberi keutamaan ikuti kursus pembangunan kendalian Singapura, kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
KIGALI,Rwanda: Pegawai Afrika akan diberi keutamaan untuk mengikuti latihan yang dikendalikan Singapura. Ia merangkumi isu-isu yang baru muncul seperti perubahan iklim, kemampanan dan pendigitalan.

Daya usaha itu adalah sebahagian daripada Pakej Kerjasama Singapura-Afrika yang baru selama tiga tahun.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkannya pada Isnin (27 Jun) di Kigali dalam sidang media bersama dengan Presiden Rwanda Paul Kagame.

Kedua-dua pemimpin telah menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Pemerintah Komanwel (CHOGM).

Negara-negara Afrika membentuk 19 daripada kumpulan 54 negara yang kebanyakannya adalah negara bekas jajahan Britain. Negara Afrika barat Gabon dan Togo menjadi anggota terbaru Komanwel pada hari terakhir sidang puncak itu pada Sabtu (25 Jun).

Encik Lee berkata beliau gembira sidang puncak itu memberinya peluang untuk bertemu rakan sejawatannya dari Afrika secara bersemuka, dan bertukar pandangan dan perspektif antara satu sama lain.

Beliau akur bahawa Komanwel tidak mempunyai banyak sumber sedia ada bagi kerjasama kumpulan rasmi, tetapi menegaskan bahawa negara anggota masih bekerjasama secara tidak rasmi.

“Dengan penjenamaan itu, kita adalah negara Komanwel, meskipun tidak berkongsi nilai bersama, tetapi persamaan tertentu dalam pendekatan dan pemikiran yang luas, di mana jika saya bekerjasama dengan anda, ia mungkin capai matlamatnya dan ia sesuatu yang sangat berharga,” katanya.

Encik Lee mengimbau kembali lawatan perdana menteri pengasas Singapura Lee Kuan Yew ke benua itu lebih 50 tahun lalu.

“Malah sekarang pun, beberapa pemimpin Afrika yang saya temui di CHOGM masih ingat lawatannya ke negara mereka. Dan saya bersyukur atas semangat muhibah yang dipegang Afrika terhadap Singapura,” kata PM Lee.

TEROKA AFRIKA

Encik Lee berkata Singapura menggalakkan rakyat dan perniagaan negara itu untuk meneroka pasaran baru di Afrika.

"Kami juga gembira untuk berkongsi pengalaman kami dalam pembangunan ekonomi, pembangunan sumber manusia dan keupayaan bakat dengan orang lain," katanya.

Atas sebab itu Program Kerjasama Singapura (SCP) dilancarkan pada 1992, kata Encik Lee. Program itu menawarkan kursus latihan dalam bidang seperti kesihatan awam, perdagangan dan ekonomi, serta kepimpinan dan tadbir urus.

“Pada ulang tahun ke-30 SCP tahun ini, saya gembira dapat mengumumkan Pakej Kerjasama Singapura-Afrika selama tiga tahun,” kata Encik Lee.

“Kami akan menyediakan kursus yang khusus dalam bidang utama untuk Afrika. Ini akan merangkumi isu-isu baru seperti perubahan iklim dan kemampanan, dan pendigitalan serta bandar pintar.

Pegawai Afrika juga akan diberi "keutamaan" untuk menyertai kursus SCP, manakala pegawai kanan Afrika akan ditawarkan biasiswa possiswazah di universiti Singapura, tambahnya.

"Pegawai Rwanda telah mengambil bahagian secara aktif dalam kursus SCP selama ini," tambah Encik Lee, sambil menyatakan bahawa lebih 12,000 pegawai Afrika, termasuk ramai dari Rwanda, yang telah menghadiri kursus SCP yang "diterima dengan baik" setakat ini.

"Kami menantikan penyertaan berterusan Rwanda dan Afrika dalam SCP."

Menjawab soalan mengenai potensi Afrika dan bagaimana Singapura boleh membantu membangunkannya, Encik Lee berkata Afrika adalah "benua yang sedang berkembang".

“Ia mempunyai jumlah penduduk yang besar. Ia sangat pelbagai. Negara-negara tersebut mempunyai pelbagai situasi ekonomi dan persekitaran politik. Dan dalam kerumitan itu, terdapat banyak peluang dan Rwanda adalah salah satu daripadanya,” katanya.

“Ia mempunyai sejarah masa lalu yang traumatik dalam pembunuhan beramai-ramai … Dan ia bertekad untuk bangkit lebih daripada itu, bergerak ke hadapan dan menggenggap masa depan yang cerah.

HUBUNGAN SINGAPURA-RWANDA

Sebelum mengadakan pertemuan dengan Encik Kagame, Encik Lee memberi penghormatan di tugu peringatan pembunuhan beramai-ramai Kigali, di mana beliau meletakkan kalungan bunga dan meninggalkan mesej dalam buku tetamu.

Pada tahun 1994, pelampau Hutu membunuh 800,000 orang di Rwanda dalam keganasan etnik yang kejam selama 100 hari.

Pada tahun-tahun berikutnya, Encik Kagame dipuji kerana mengubah Rwanda melalui dasar yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang pesat.

“Rakyat Rwanda telah menunjukkan ketabahan yang besar. Semoga mereka terus menikmati keamanan selama bertahun-tahun,” tulis Encik Lee dalam buku peringatan itu.

Singapura ialah rakan dagangan terbesar Rwanda, dengan jumlah pelaburan langsung asing yang dibuat oleh syarikat Singapura di Rwanda bernilai sekitar AS$150 juta (S$208 juta).

Pada Ogos 2021, kedua-dua negara turut menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama ekonomi digital.

"Singapura berharap untuk memperdalam kerjasama kami, dan meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara Singapura dengan Rwanda," kata Encik Lee.

Perdana Menteri menekankan bahawa walaupun Singapura dan Rwanda, berada di benua yang berbeza, kedua-dua negara mempunyai "banyak persamaan".

Singapura dan Rwanda adalah negara kecil dengan sumber terhad yang mementingkan kerjasama antarabangsa - termasuk dengan negara kecil lain - untuk menjamin keamanan, kemajuan dan kemakmuran rakyat mereka dalam "dunia berbahaya", katanya.

“Oleh itu, saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Presiden Kagame untuk memastikan hubungan antara kedua-dua negara kita terus kukuh,” tambahnya.

Ketika ditanya bagaimana lagi Rwanda boleh bekerjasama dengan Singapura dan Asia, Encik Kagame berkata negara itu akan meneroka bagaimana untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan serta bekerjasama dalam bidang pendidikan.

“Kami akan bekerjasama dalam bidang teknologi yang boleh meningkatka pembangunan kami, dan melihat (bagaimana) penggunaan teknologi telah menyumbang kepada pembangunan di Singapura atau rakan kongsi Asia yang lain,” katanya.

"Kami akan meneroka isu keselamatan dan bekerjasama dalam menangani perubahan iklim yang menjejas bahagian lain di dunia."

Encik Kagame mengucapkan terima kasih kepada Singapura kerana menjadi "rakan kongsi yang berharga" selama ini, dengan mengatakan bahawa kedua-dua negara itu akan meningkatkan lagi kerjasama pada tahun-tahun mendatang.

“Model pembangunan Singapura dan komitmennya terhadap perpaduan sosial dan nasional sangat mengagumkan,” tambahnya.
Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan