Pegawai Aetos dirakam 'kurang ajar' terhadap pasangan warga emas dihentikan tugas: TTSH
Seorang pegawai polis tambahan Aetos yang ditempatkan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dihentikan tugas setelah tular video di mana dia dilihat bertindak "kurang ajar terhadap sepasang warga emas" di pintu masuk hospital itu, menurut TTSH.
Petikan dari TikTok/bendyeo87
SINGAPURA: Seorang pegawai polis tambahan Aetos yang ditempatkan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dihentikan tugas setelah tular video di mana dia dilihat bertindak "kurang ajar terhadap sepasang warga emas" di pintu masuk hospital itu, menurut TTSH.
TTSH menyatakan dalam satu catatan Facebook pada petang Jumaat (25 Feb) bahawa ia dimaklumkan tentang kejadian itu pada Khamis malam (24 Feb) dan segera melepaskan pegawai itu dari tugasnya.
Tambah TTSH ia sedang "menyiasat kejadian itu bersama Aetos".
Rakaman video kejadian itu dimuat naik ke wadah media sosial TikTok pada Khamis oleh seorang pengguna dikenali sebagai Benedict Yeo, dan kemudian menjadi tular setelah ia dikongsi hampir 1,500 kali dan mendapat lebih 14,600 tanda suka.
Dalam video yang dirakam menggunakan kamera pada topi keledar motosikal Encik Yeo, dapat didengar sebagai berkata beliau sedang menghantar isterinya yang bekerja di hospital itu pada pagi Khamis apabila beliau menyaksikan kejadian itu.
Encik Yeo dan sebuah lori di hadapannya berhenti buat seketika di bawah tempat berteduh dekat pintu masuk hospital itu untuk menurunkan penumpang masing-masing. Ia bukan tempat yang ditetapkan untuk mengambil dan menurunkan penumpang.
Bagaimanapun, ia terletak sepanjang garisan zig-zag kuning - iaitu pemandu tidak dibenarkan untuk meletak kenderaan di bahu jalan tersebut pada bila-bila masa, kecuali untuk mengambil dan menurunkan penumpang dengan segera.
Rakaman video sepanjang dua minit itu menunjukkan pegawai berkenaan, yang wajahnya sudah dikaburkan, berdiri di sebelah lori itu sementara pemandu lori dan seorang lagi lelaki membantu seorang penumpang tua turun daripada lori untuk duduk di kerusi roda, sementara diperhatikan oleh seorang wanita warga emas.
Namun sebelum lelaki itu dapat dialihkan ke kerusi roda tersebut, pegawai berkenaan memandang ke arah Encik Yeo beberapa kali lalu dan menepuk tangannya sebanyak dua kali ke arah penumpang lori berkenaan.
Pemandu lori itu meminta pegawai itu "sabar lah, teman", sedang beliau cuba membantu warga emas itu ke kerusi rodanya.
Pegawai tersebut kemudian memberi isyarat kepada pemandu lori itu supaya "jangan letakkan kenderaan di sini... letakkan di hadapan".
Sebahagian daripada audio rakaman itu tidak jelas namun pada satu ketika, wanita warga emas itu kedengaran berkata: "Pakcik tidak boleh berjalan".
Pengawal keselamatan itu sekali lagi berkata: "Bukan berjalan, letak kenderaan di depan... lebih mudah."
Dia kemudian memberitahu pemandu lori tersebut supaya alihkan kenderaan mereka sebaik sahaja selesai.
Pegawai itu mengiktiraf permohonan maaf dari wanita lanjut usia itu dan mengulangi bahawa mereka seharusnya meletakkan kenderaan di hadapan kerana dia tidak mahu jalan raya itu menjadi "sesak" sementara wanita itu terus katakan bahawa mereka "tidak ada pilihan".
Mengulas kejadian melibatkan pegawai polis tambahannya pada Jumaat, Aetos menyatakan semua pegawainya "perlu mengekalkan piawai profesionalisme yang tinggi dan menawarkan khidmat cemerlang" ketika bertugas.
"Kami tidak menerima tingkah laku pegawai itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya apabila selesai siasatan," ia menambah dalam satu catatan Facebook.
Secara berasingan, TTSH menyatakan ia "mementingkan sikap saling menghormati dan keselamatan serta kesejahteraan" setiap orang di hospital itu.
"Kami akan bekerjasama dengan vendor kami untuk menerapkan nilai yang sama kepada kakitangan mereka yang ditugaskan di sini.
"Kami menghargai usaha orang awam kerana memaklumkan kami kepada kejadian itu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.