Skip to main content

Singapura

Pegang telefon bimbit semasa memandu kini satu kesalahan di bawah undang-undang baharu SG

Anggaran Waktu Membaca:
Pegang telefon bimbit semasa memandu kini satu kesalahan di bawah undang-undang baharu SG

Seorang lelaki memegang telefon bimbit semasa memandu. (Gambar: iStock/BitsAndSplits)

Diterbitkan : 04 Aug 2026 10:50PM
SINGAPURA: Pemandu yang memegang telefon bimbit semasa kenderaan bergerak akan melakukan satu kesalahan, walaupun mereka tidak menggunakan peranti tersebut, di bawah pindaan undang-undang yang diluluskan Parlimen pada Selasa (4 Ogos).

Sebelum ini, seseorang pemandu hanya melakukan kesalahan jika menggunakan telefon bimbit yang dipegang untuk fungsi komunikasi seperti membuat panggilan atau menghantar mesej semasa kenderaan sedang bergerak.

Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Sim Ann berkata keperluan untuk membuktikan bahawa pemandu sedang menggunakan sesuatu fungsi telefon menyukarkan penguatkuasaan.

Beliau berkata kegiatan seperti berkomunikasi atau mendapatkan maklumat menerusi telefon memerlukan perhatian visual dan kognitif pemandu, sekali gus mengalihkan perhatian mereka daripada pemanduan.

Memegang telefon bimbit juga boleh mengurangkan keupayaan pemandu untuk mengawal kenderaan dengan sewajarnya.

Perubahan tersebut terkandung dalam Rang Undang-Undang Lalu Lintas Jalan Raya (Pindaan-Pindaan Lain), yang diluluskan selepas perbahasan bacaan kedua selama lebih lima jam.

Seramai 26 Anggota Parlimen (AP) dan seorang AP Dilantik berucap dalam perbahasan tersebut.

TELEFON BIMBIT PADA PEMEGANG MASIH DIBENARKAN

Undang-undang baharu itu tidak menjadikan satu kesalahan bagi pemandu menyentuh telefon bimbit yang dipasang pada pemegang semasa kenderaan bergerak.

Cik Sim berkata terdapat sebab yang sah untuk menggunakan peranti yang dipasang pada pemegang, termasuk bagi aplikasi navigasi.

Namun, pemandu yang terganggu sehingga menjejas cara mereka memandu masih boleh dikenakan tindakan atas kesalahan memandu secara cuai atau berbahaya.

Cik Sim menegaskan pemandu tidak dibenarkan memegang telefon bimbit apabila kenderaan sedang bergerak dan tiada pengecualian diberikan.

Sekiranya telefon bimbit terjatuh daripada pemegangnya, pemandu perlu memberhentikan kenderaan dengan selamat sebelum mengambilnya.

Menurut beliau, matlamat perubahan tersebut adalah untuk mengubah pemikiran dan tabiat pemandu bagi mengurangkan gangguan semasa berada di jalan raya.

AP BANGKITKAN ISU GANGGUAN DIGITAL

Beberapa AP turut membangkitkan kebimbangan mengenai gangguan yang boleh berpunca daripada telefon bimbit yang dipasang pada pemegang dan sistem hiburan dalam kenderaan.

AP Hougang Dennis Tan berkata pemandu kini berdepan semakin banyak gangguan digital, termasuk telefon bimbit yang dipasang pada pemegang, peranti boleh pakai, sistem hiburan dan papan pemuka digital.

Beliau turut bertanya sama ada penggunaan beberapa peranti yang dipasang pada masa yang sama boleh meningkatkan gangguan terhadap pemandu.

AP Sengkang He Ting Ru pula meminta penjelasan mengenai peraturan bagi kegiatan seperti menaip, menelusuri media sosial, menonton video atau membuat panggilan video menerusi sistem dalam kenderaan.

Cik Sim berkata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) tidak menjadikan penggunaan peranti yang dipasang pada pemegang sebagai satu kesalahan kerana terdapat kegunaan yang sah, seperti bagi tujuan navigasi.

Namun, peraturan sedia ada melarang pemasangan paparan visual dengan cara yang boleh menimbulkan bahaya keselamatan atau mengganggu perhatian pemandu.

MHA akan terus memantau keadaan lalu lintas dan boleh mengubah pendekatannya terhadap penggunaan peranti atau skrin yang dipasang sekiranya perlu.

KESALAHAN NAIK 40%

Pindaan undang-undang itu juga membolehkan Polis Trafik menguatkuasakan kesalahan tersebut menggunakan kamera serta gambar atau video yang dihantar oleh orang ramai.

Menurut Cik Sim, jumlah kesalahan memandu sambil menggunakan telefon bimbit meningkat 40 peratus daripada 3,014 kes pada 2024 kepada 4,214 kes pada 2025.

Beliau berkata terdapat kesukaran untuk menentukan sejauh mana penggunaan telefon bimbit menyumbang kepada kemalangan kerana pemandu mungkin tidak mengaku menggunakannya dan bukti rakaman video juga tidak semestinya tersedia.

Namun, katanya, itu tidak bermakna penggunaan telefon bimbit semasa memandu tidak berbahaya atau tidak berleluasa.

"Kita mesti bertindak tegas terhadap tingkah laku memandu yang tidak diingini ini dan tidak menunggu sehingga lebih banyak kemalangan atau kematian berlaku," kata Cik Sim.

Rang undang-undang tersebut turut mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan cedera parah dan menurunkan had alkohol bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita