Skip to main content

Singapura

Pegang telefon bimbit semasa memandu boleh dikenakan hukuman di bawah pindaan diusulkan

Para pemandu yang memegang telefon bimbit atau alat komunikasi lain ketika memandu boleh dikenakan hukuman tidak lama lagi. Ini sekalipun mereka tidak menggunakan peranti tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegang telefon bimbit semasa memandu boleh dikenakan hukuman di bawah pindaan diusulkan

Seorang pemandu menggunakan telefon bimbit. (Gambar fail: AP/Robert F Bukaty)

Diterbitkan : 07 Jul 2026 03:25PM
SINGAPURA: Para pemandu yang memegang telefon bimbit atau alat komunikasi lain ketika memandu boleh dikenakan hukuman tidak lama lagi. Ini sekalipun mereka tidak menggunakan peranti tersebut.

"Buat masa ini, untuk menentukan ia adalah satu kesalahan apabila menggunakan peranti komunikasi semasa memandu, bukti diperlukan untuk menunjukkan bahawa pemandu sedang mengendalikan fungsi komunikasi atau fungsi lain peranti tersebut - seperti menghantar pesanan teks atau membuat panggilan - sambil memegang peranti itu di tangan dan memandu kenderaan," menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Selasa (7 Jul).

"Ini bermakna kesalahan itu hanya boleh dikenakan hukuman secara manual, kerana para pegawai harus mengesahkan pemandu itu sedang menggunakan peranti tersebut."

Rang Undang-Undang Lalu Lintas Jalan Raya (Pindaan-Pindaan Lain), yang diusulkan di Parlimen pada Selasa (7 Jul), akan memansuhkan keperluan untuk menentukan bahawa pemandu sedang menggunakan peranti tersebut.

Sebaliknya ia menjadi satu kesalahan selagi pemandu itu memegang alat komunikasi tersebut ketika kenderaan sedang bergerak.

Alat komunikasi merujuk kepada telefon bijak atau sebarang alat komunikasi boleh dipakai atau dipegang.

Ini termasuk tablet dan jam tangan bijak.

"Para pemandu biasanya memegang alat komunikasi dengan niat untuk sama ada menggunakannya atau memindahkan peranti tersebut. Perbuatan itu boleh dilakukan dengan selamat, sama ada pada permulaan perjalanan atau apabila kenderaan itu berhenti sepenuhnya," menurut MHA dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp.

"Tiada sebab bagi seorang pemandu untuk memegang telefon bimbit ketika kenderaan sedang bergerak, kerana ia berisiko mengganggu tumpuan pemandu dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Dan oleh demikian, ia boleh dianggap sebagai satu kesalahan."

Menekan jam tangan bijak tidak dianggap sebagai satu kesalahan melainkan pemandu memegang jam tangan itu dalam tangan mereka dan bukan memakainya seperti yang sepatutnya.

Rang Undang-Undang itu juga mengusulkan supaya polis trafik bertindak terhadap kesalahan tersebut berdasarkan gambar atau video yang dikemukakan oleh orang ramai.

Ini akan meningkatkan pengesanan kesalahan sedemikian, menurut MHA.

Buat masa ini, gambar yang menunjukkan seorang pemandu memegang telefon bimbit sahaja mungkin tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa sesuatu kesalahan telah dilakukan, memandangkan polis trafik memerlukan bukti untuk menunjukkan pemandu sedang menggunakan peranti tersebut.

"Pindaan-pindaan itu tidak akan menjejaskan penggunaan peranti yang dipasang, yang tidak akan menjadi kesalahan. Pemandu juga boleh memegang peranti mereka semasa kenderaan tidak bergerak," menurut MHA.

Akta Lalu Lintas Jalan Raya dipinda pada 2014 untuk menjadikannya satu kesalahan untuk memegang dan menggunakan sebarang jenis peranti komunikasi semasa memandu.

Undang-undang itu diperluaskan untuk bukan sahaja melarang membuat panggilan atau menghantar mesej teks, tetapi juga melayari web, melungsuri platform media sosial dan memuat turun bahan.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Mac tahun ini, Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata bahawa secara purata 2,800 pemandu dikenakan saman setiap tahun antara 2021 dan 2025 kerana menggunakan peranti komunikasi semasa memandu.

"Walaupun pemandu menggunakan peranti yang dipasang semasa memandu, dia mungkin, bergantung kepada fakta kes tersebut, bertanggungjawab atas kesalahan memandu tanpa berhati-hati dan penuh perhatian atau pertimbangan yang munasabah, atau kerana memandu secara melulu atau berbahaya," tambahnya.

Di bawah undang-undang semasa, seorang pemandu melakukan kesalahan jika dia memegang peranti komunikasi dan menggunakan mana-mana fungsi komunikasi atau fungsi lain semasa kenderaan sedang bergerak. Tiada bukti kemudaratan diperlukan.

Pesalah kali pertama boleh dikenakan denda sehingga S$1,000 atau hukuman penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya. Pesalah berulang boleh didenda sehingga S$2,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya.

Kesalahan itu juga membawa 12 mata demerit dengan denda komposisi sebanyak S$400 untuk kenderaan ringan dan S$500 untuk kenderaan berat.

Kesalahan yang dilakukan di zon sekolah, Zon Warga Emas, atau Laluan Mesra dikenakan tambahan dua mata demerit dan denda tambahan S$100.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita