Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegang teguh pada persamaan 'menyatukan' rakyat S'pura, kata DPM Lawrence Wong

Rakyat Singapura harus berpegang teguh kepada persamaan dan bukannya perbezaan antara mereka, di samping mengukuhkan semangat kebersamaan dalam menangani sebarang cabaran, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Sabtu (6 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Aug 2022 02:23PM Dikemas Kini : 06 Aug 2022 10:22PM
SINGAPURA: Rakyat Singapura harus berpegang teguh kepada persamaan dan bukannya perbezaan antara mereka, di samping mengukuhkan semangat kebersamaan dalam menangani sebarang cabaran, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Sabtu (6 Ogos).

Encik Wong mengambil bahagian dalam segmen soal jawab menerusi panggilan video, yang mengemukakan pelbagai soalan daripada rakyat Singapura di luar negara. Acara 'Singapora @ Home' itu dianjurkan oleh Rangkaian Global Singapura, sebuah cabang Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).

Sepanjang pandemik COVID-29, warga Singapura menyaksikan "sifat-sifat insani yang dikongsi sebagai satu rakyat" telahpun menyatukan kita, kata Encik Wong.

“Kita mengalaminya semasa pandemik, terutama semasa kita melalui tempoh pengasingan dan terpaksa meluangkan masa berjauhan antara satu sama lain," tambah beliau yang juga Menteri Kewangan.

“Kita adalah sebuah masyarakat yang rencam di Singapura dan rakyat Singapura berada di mana-mana saja di seluruh dunia. Namun sekalipun terdapat perbezaan antara kita, saya rasa kita harus berpegang teguh kepada perkara-perkara yang menyatukan kita dan apa yang dikongsikan secara bersama," ujar Encik Wong.

Masyarakat sejagat hidup dalam dunia yang "semakin tidak menentu, pincang serta bergelora," kata Encik Wong.

“Namun, ia begitu penting untuk kita cuba mencari titik persamaan yang dikongsi demi menangani beberapa cabaran mendesak di dunia."

Menjawab pertanyaan tentang bagaimana Singapura berkembang sebagai sebuah negara selepas pandemik kelak, Encik Wong menarik perhatian bahawa mengharungi sesuatu krisis akan mendorong sesiapa saja untuk mempertingkatkan diri, menjadi matang dan lebih teguh serta lebih berdaya bingkas.

“Saya rasa itu adalah pengalaman kita sebagai sebuah negara sepanjang dua tahun lalu mengharungi krisis seperti COVID-19... Lantaran itu, saya berasa yakin semangat kebersamaan ini dan sikap berdaya bingkas akan membantu kita mengatasi cabaran-cabaran hari muka juga."

Encik Wong berkata beliau menanti-nantikan Perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini yang akan menjadi persembahan berskala penuh buat julung-julung kalinya sejak pandemik COVID-19 mencengkam.

“Saya rasa ia terasa benar-benar istimewa untuk setiap rakyat Singapura, termasuk diri saya sendiri. Bayangkan sepanjang dua tahun lalu, kita mengadakan NDP dalam keadaan yang cukup berbeza. Ia diadakan pada skala sangat kecil, tiada pertunjukan secara lansung dan penonton yang menyaksikannya secara langsung juga amat terhad," kata Timbalan Perdana Menteri itu.

Ketika menjawab satu lagi pertanyaan tentang apa yang boleh dijangkakan rakyat Singapura yang menetap di luar negara, dari segi makanan tempatan sekembalinya mereka ke tanah air kelak, Encik Wong menyenaraikan hidangan-hidangan penjaja seperti mi udang dan telur dadar tiram sebagai antara makanan kegemarannya.

Menyifatkan bidang makanan dan minuman (F&B) Singapura sebagai "amat bertenaga", Encik Wong menarik perhatian bahawa terdapat kepelbagaian yang meluas dalam F&B yang ditawarkan di Singapura.

Beliau juga menambah kini semakin ramai cef muda Singapura yang menyelitkan rasa istimewa Singapura ke dalam masakan dan hidangan mereka.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan