Skip to main content

Singapura

PCICS bakal dedahkan asatizah baru kepada sains kemasyarakatan, kerja amal dan kemahiran lain

Sijil Pos Siswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) akan mendedahkan asatizah baru kepada sains kemasyarakatan, membangunkan kemahiran kaunseling, kerja-kerja amal dan kemahiran kejuruan lain bagi mempersiapkan mereka untuk hari muka.

Anggaran Waktu Membaca:
PCICS bakal dedahkan asatizah baru kepada sains kemasyarakatan, kerja amal dan kemahiran lain

Ketua PCICS, Dr Mohammad Hannan Hassan, memberi taklimat kepada para lulusan dan ibu bapa mereka tentang rangka kerja program. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Sijil Pos Siswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) akan mendedahkan asatizah baru kepada sains kemasyarakatan, membangunkan kemahiran kaunseling, kerja-kerja amal dan kemahiran kejuruan lain bagi mempersiapkan mereka untuk hari muka.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Maliki Osman pada Jumaat (6 Mac).

Beliau menjelaskan, ini kerana COFA melihat potensi asatizah untuk menyumbang kepada sektor yang boleh diselaraskan, seperti kerja-kerja kemasyarakatan.

Mereka juga dapat memberi nasihat kepada masyarakat Islam Singapura tentang bagaimana mengharungi pembangunan kontemporari dalam penggunaan teknologi dan kewangan.

"Asatizah kita membentuk keperibadian masyarakat kita. Ini adalah satu tanggungjawab yang amat penting. Peranan asatizah telah berkembang daripada hanya mengajar sebagai guru agama kepada pemimpin agama yang menyumbang kepakaran dalam sektor agama dan sektor bukan agama.

"Visi jangka panjang kita adalah untuk melahirkan golongan asatizah masa depan sebagai tokoh-tokoh agama yang disegani di dalam dan luar negera," kata Dr Maliki.

KOMPONEN PRAKTIKUM DALAM PCICS

Selain kerjasama dengan institusi-institusi termasyhur Islam seperti Universiti Al-Azhar dan Universiti Jordan, serta Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), PCICS juga akan merangkumi komponen praktikum atau pengalaman berlandaskan kerja.

Langkah tersebut bagi melengkapkan pelajar dengan latihan di tempat kerja, pendedahan dan pembelajaran melalui pengalaman bagi peranan masa depan mereka apabila mereka mula bekerja, kata Dr Maliki.

Ini terdiri daripada Program Pengalaman Kerja selama 10 hingga 12 bulan, latihan amali bekerja sambil belajar atau 'internship' selama sekurang-kurangnya dua bulan dan projek-projek berlandaskan kerja.

Langkah itu juga bagi meningkatkan peluang mereka untuk diambil bekerja.

Dr Maliki turut menarik perhatian para peserta akan menerima gaji dan elaun masing-masing bagi Program Pengalaman Kerja dan latihan bekerja mereka.

PCICS akan dijalankan pada April dan Oktober tahun ini. Setakat ini, 50 peserta sudah mendaftar bagi kemasukan April manakala 50 yang lain dijangka akan mendaftar bagi bulan Oktober, dedah Dr Maliki. 

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita