Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pawagam nantikan masa tingkat had operasi sedang sekatan COVID-19 dilonggarkan

Pawagam-pawagam di Singapura menanti-nantikan masa untuk meningkatkan had maksimum operasinya meskipun ia akan menjadi satu "cabaran" bagi pawagam lebih kecil untuk mencapai keupayaan penuh yang dibenarkan iaitu sebanyak 50 peratus, seperti diumumkan pada Rabu (23 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
Pawagam nantikan masa tingkat had operasi sedang sekatan COVID-19 dilonggarkan

(Gambar fail: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 24 Sep 2020 08:07PM Dikemas Kini : 24 Sep 2020 08:09PM

SINGAPURA: Pawagam-pawagam di Singapura menanti-nantikan masa untuk meningkatkan had maksimum operasinya meskipun ia akan menjadi satu "cabaran" bagi pawagam lebih kecil untuk mencapai keupayaan penuh yang dibenarkan iaitu sebanyak 50 peratus, seperti diumumkan pada Rabu (23 Sep).

Mulai 1 Oktober, dewan pawagam besar dengan lebih 300 tempat duduk dibenarkan mempunyai sehingga tiga zon dengan maksimum 50 penonton setiap zon, umum Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.

Dewan pawagam lain akan dibenarkan untuk meningkatkan had kepada 50 peratus daripada tahap keupayaan operasi asalnya atau mengekalkan had sekarang iaitu sehingga 50 penonton setiap dewan, tertakluk kepada langkah pengurusan selamat COVID-19.

Cathay Cineplexes "berterima kasih" atas kelonggaran sekatan had dewan pawagam, kata seorang jurucakap syarikat ketika menjawab pertanyaan Mediacorp.

Ia akan melaksanakan pengaturan tempat duduk baru mula 1 Oktober berdasarkan had dipertingkat yang dibenarkan dan langkah pengurusan selamat, tambah jurucakap itu.

“Ini bermakna sesetengah dewan pawagam kami akan dikendalikan pada kurang daripada tahap 50 peratus yang dibenarkan untuk menampung pengaturan tempat duduk selaras langkah jarak selamat," kata beliau.

Pawagam bebas The Projector menyatakan ia akan menaikkan hadnya mulai 1 Oktober daripada 50 kepada 80 penonton.

"Bagi teater dengan susun atur bersaiz lebih kecil untuk 200 orang seperti kami, peraturan jarak 1 meter menjadikannya mencabar untuk mencapai sepenuhnya had 50 peratus yang dibenarkan tetapi sedikit pun tetap membantu," kata ketua pengurus Prashant Somosundram.

Sejajar dengan saranan MOH, penonton di pawagam The Projector mesti meninggalkan dua kerusi kosong antara setiap kumpulan. Penonton juga hanya boleh duduk bersama-sama dalam kumpulan lima orang atau kurang di ruang legar dan dewan pawagam, tambah Encik Prashant.

“Kami sudahpun menambahkan masa antara sesi-sesi untuk menyokong peraturan jarak sosial di ruang legar kami serta untuk membantu dalam pembersihan menyeluruh dewan-dewan kami antara waktu pertunjukan filem. Kami juga akan melaksanakan sesi pawagam yang disingkatkan pada hujung minggu sehingga makluman lanjut," kata beliau.

Sejak pawagam Cathay dibuka semula pada Julai, para pengunjung "mematuhi dengan baik budi" langkah pengurusan selamat termasuk menunggu kakitangan untuk melakukan pembasmian kuman di tempat-tempat permukaan, memakai pelitup mereka dan kekal duduk di tempat yang ditetapkan, tambah jurucakap syarikat itu.

Dewan pawagam di seluruh negara pertama kali dibuka semula pada Julai setelah ditutup hampir empat bulan semasa pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, had penonton seramai 50 orang dan langkah jarak selamat bermakna sekitar 90 peratus tempat duduk terus kosong. Lebih banyak kerja permbersihan antara masa pertunjukan wayang juga bermakna kurang filem serta tiket tersedia.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan