Paw-verbs on the Lawn di TWM teroka hubungan masyarakat Melayu dengan kucing menerusi peribahasa
Kucing - haiwan yang amat digemari ramai dan berkait rapat dengan masyarakat Melayu sehingga mendapat tempat dalam pelbagai peribahasa kita.
SINGAPURA: Kucing - haiwan yang amat digemari ramai dan berkait rapat dengan masyarakat Melayu sehingga mendapat tempat dalam pelbagai peribahasa kita.
Hubungan inilah yang diteroka melalui pameran 'Paw-verbs on the Lawn' anjuran Taman Warisan Melayu (TWM).
Menerusi gandingan 30 lukisan dan 10 peribahasa yang bertemakan kucing, para pengunjung berpeluang mengenali dengan lebih dekat lagi peranan serta kedudukan haiwan tersebut dalam budaya dan sastera Melayu.

Koleksi 10 peribahasa yang dipilih menunjukkan bagaimana kucing serta ciri-cirinya digunakan sebagai metafora untuk tingkah laku manusia, selain menyampaikan nasihat dan pengajaran dari generasi ke generasi.
"Melalui inisiatif ini, kami ingin mengajak orang ramai datang ke sini bukan sahaja untuk beriadah tetapi juga untuk mempelajari tentang peribahasa-peribahasa yang berkaitan dengan kucing yang mungkin tidak selalu kita dengar.
"Kita biasa dengan “kucing bertanduk” atau “malu-malu kucing” tapi sebenarnya ada lebih 20 peribahasa yang menggunakan kucing dalam ayat peribahasa itu," kongsi Pengurus Besar TWM, Cik Asmah Alias.
Pameran ini merupakan kerjasama dengan pelukis ilustrasi dari Jepun, Juno, yang terkenal dengan lukisan-lukisan kucing comelnya di akaun Instagram @mofu_sand. Ia juga kali pertama karya seni artis itu dipamerkan di Asia Tenggara.
‘Paw-verbs on the Lawn’ akan berlangsung hingga 30 Mei ini.
Di samping pameran itu, para pengunjung juga boleh menyertai persembahan bercerita 'The Lure of the Feline' oleh pelakon, pengarah dan penulis drama tempatan Gene Sha Rudyn yang bakal menyelongkar hubungan orang Melayu Nusantara dengan kucing dari zaman ke zaman.
Sebuah peraduan 'Find the Paw-verb!' di akaun Instagram TWM akan diadakan mulai 16 Mac dan para peserta berpeluang memenangi lencana dengan ilustrasi kucing mofu_sand.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.