Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PAVE: Kes dera bagi mangsa belum kahwin melonjak 180% sejak 3 tahun lalu

Lebih ramai individu belum berumahtangga kini mendapatkan bantuan di pusat-pusat kaunseling, bagi kes penderaan oleh pasangan masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih ramai individu belum berumahtangga kini mendapatkan bantuan di pusat-pusat kaunseling, bagi kes penderaan oleh pasangan masing-masing.

Pusat Menggalak Alternatif terhadap Keganasan (PAVE), misalnya menyaksikan peningkatan 180% bagi kes-kes demikian antara tahun 2015 hingga 2017.

BERITAMediacorp bertemu dengan salah seorang daripada mangsa sedemikian dan meninjau apakah antara perlindungan bagi mangsa seperti itu mencukupi.

DIDERA SAMPAI HAMPIR RAGUT NYAWA

'Siti', bukan nama sebenar, belum lagi berumahtangga, namun selama dua tahun lebih dia dipukul bantai oleh kekasihnya pada tahun lalu.

"Selepas tiga bulan, dia mula sepak, tumbuk, dan tendang saya, saya sebenarnya dah pernah pergi hospital tapi kena buat 'CT scan'," ujar Siti.

Akibatnya, Siti yang berusia 19 tahun, mengalami trauma secara mental, fizikal dan emosi, termasuk dikurung oleh pasangannya di dalam bilik.

Hubungan Siti dengan kekasihnya terus berjalan selama lebih dua tahun kerana dia masih berharap pasangannya itu dapat berubah menjadi seorang yang lebih baik.

Namun satu kejadian yang hampir meragut nyawanya, membuatkan Siti memutuskan hubungan dengan kekasihnya.

"Dia boleh dengan senang ambil tu pisau, hanya untuk rodok saya, saya rasa kalau saya tak lari, saya dah mati dah," kongsi Siti bersama pihak kami.

PEGUAM, DOKTOR TURUT DIDERA

Menurut PAVE, kes-kes yang dialami mangsa seperti Siti perlu diberi perhatian kerana jumlahnya didapati meningkat sejak kebelakangan ini.

Perangkaan PAVE menunjukkan, sejak tiga tahun lalu, jumlah penderaan pasangan belum berkahwin seperti itu melonjak hampir dua kali ganda.
Jika pada tahun 2015, sebanyak 6 kes dikendalikannya. Namun ia melonjak kepada 10 kes pada tahun 2016 dan meningkat lagi kepada 17 kes pada tahun lalu.

PAVE malah menyatakan, penderaan bukan berlaku terhadap pasangan wanita sahaja - pasangan lelaki juga menjadi mangsa penderaan di tangan pasangan wanita.

Profil-profil mangsa yang mencari perlindungan dan bantuan, juga bercampur-campur, termasuk golongan karyawan seperti doktor dan peguam.

"Pemangsa ini merasakan bahawa bukan sahaja mereka merasakan mereka berhak untuk mengawal atau mengawasi dan berkuasa ke atas pasangan masing-masing,

"Tetapi, mereka juga terus melakukan keganasan ini kerana mereka tahu mereka boleh, dan tidak ada akibatnya yang akan terjadi kepada mereka. Jadi, dari itu, keganasan itu berterusan dan makin lama ia mungkin melarat dan menjadi teruk di masa akan datang," kata Cik Adisti Jalani, Ketua Pekerja Sosial, PAVE.

SEJAUH MANA MANGSA DERA BELUM KAHWIN DILINDUNGI?

Yang pasti, wanita bujang tidak boleh mendapatkan perlindungan undang-undang di bawah Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) - seperti yang diperuntukkan dalam Piagam Wanita untuk wanita yang berumahtangga.

Di bawah PPO, pendera boleh dipenjarakan sekiranya mereka melanggar Perintah tersebut.

Menurut PAVE, kaedah lain seperti - Aduan Majistret dan Akta Perlindungan dari Gangguan (POHA), mungkin kurang efektif kerana ia memakan masa lebih lama dan mungkin mahal untuk digunakan kerana memerlukan khidmat guaman.

"Prosesnya akan memakan masa lebih lama daripada perintah perlindungan PPO dan ia lagi sukarlah bagi seseorang yang mungkin ingin mahu mendapatkan perlindungan bagi dirinya," tambah Cik Adisti lagi.

PAVE HARAP SEMAKAN, PINDAAN DILAKUKAN ATAS PPO

Maka itu, PAVE berharap semakan atau pindaan dilakukan terhadap PPO agar mangsa yang belum berumahtangga turut mendapat perlindungan yang sama.

"Kita memang mengharapkanlah ya jika satu hari nanti, sesiapa sahaja yang melalui pengalaman keganasan ini di dalam sesebuah hubungan dapat perlindungan sama seperti orang yang sudah berkahwin.

"Bagi kami kerana bagi tiada siapa yang sepatutnya dianiayai atau di diperlakukan seperti ini kerana dalam sistem hubungan itu ia harus ada sifat hormat menghormati, sayang menyayangi," tekan Cik Adisti lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan