Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pautan SMS dari agensi pemerintah masih diperlukan dalam keadaan tertentu, kata Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
Pautan SMS dari agensi pemerintah masih diperlukan dalam keadaan tertentu, kata Shanmugam

(Gambar: CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 14 Sep 2022 03:25PM Dikemas Kini : 14 Sep 2022 03:25PM
SINGAPURA: Pautan SMS daripada agensi pemerintah masih diperlukan apabila menyediakan perkhidmatan awam dalam keadaan tertentu seperti mengarahkan warganegara untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Selasa (13 Sep).

Untuk mengurangkan risiko, jika agensi pemerintah menilai bahawa ia perlu menghantarkan pautan dalam kiriman SMS, agensi tersebut hanya akan menggunakan domain yang berakhir dengan .gov.sg, kata Encik Shanmugam.

SMS itu juga tidak akan meminta pengguna untuk memberikan butiran peribadi mereka melalui laman web yang diakses melalui pautan berkenaan.

Encik Shanmugam menjawab soalan parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Shahira Abdullah tentang menggugurkan pautan, yang diketahui meningkatkan risiko pancingan data, daripada SMS.

Jawatankuasa Antara Kementerian mengenai Penipuan (IMCS) akan terus mengkaji penggunaan pautan di dalam sektor lain dan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi sektor untuk menyesuaikan penggunaannya jika perlu, kata Encik Shanmugam dalam jawapan bertulisnya itu.

"Memandangkan penipu mungkin beralih ke saluran komunikasi lain, menggugurkan pautan SMS tidak akan menghapuskan risiko pengguna terperdaya dengan percubaan untuk memancing data. Pengguna harus terus berwaspada," tambah beliau.

Awal tahun ini, Pemerintah menyatakan ia akan menyemak semula penggunaan SMS dan pautan yang boleh ditekan apabila berhubungan dengan orang awam.

Menurut Encik Shanmugam, IMCS mengambil pendekatan "berasaskan sektor dan risiko yang dikalibrasi" untuk menggugurkan pautan dalam SMS.

Jawatankuasa antara kementerian itu bekerjasama dengan Persatuan Bank-Bank di Singapura untuk mendapatkan pihak bank menggugurkan pautan dalam kiriman SMS yang dihantarkan kepada pelanggan runcit, kata Encik Shanmugam yang juga Menteri Undang-undang.
Encik Shanmugan menambah Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) sedang berusaha untuk membuat pendaftaran SSIR - Daftar ID Pengirim SMS Singapura - sebagai satu syarat wajib bagi semua pertubuhan yang menggunakan ID pengirim menjelang hujung tahun ini. Kiriman SMS dengan ID penghantar tidak berdaftar akan disekat secara automatik.

IMDA buat masa ini juga berusaha memperkenalkan huraian SMS antipenipuan untuk menapis pautan hasad dan mesej penipuan, yang melibatkan semua kiriman SMS yang dihantar melalui rangkaian telekomunikasi.

Penapis ini direka bentuk untuk berfungsi sebagai penghadang keselamatan yang menggunakan pengimbasan mesin automatik untuk menapis pautan hasad dan mesej penipuan, terang Encik Shanmugam.
Sumber : CNA/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa