Pasukan tindak balas pantas dikerah bagi NDP 2018
Buat pertama kalinya bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini, Pasukan Tindak Balas In-Situ (IRT) dikerah untuk melakukan rondaan di tempat-tempat tertutup sekitar Kawasan Marina Bay, terutamanya di tempat yang terdapat ramai orang awam.
SINGAPURA: Buat pertama kalinya bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini, Pasukan Tindak Balas In-Situ (IRT) dikerah untuk melakukan rondaan di tempat-tempat tertutup sekitar Kawasan Marina Bay, terutamanya di tempat yang terdapat ramai orang awam.
Pasukan itu ditubuhkan pada Disember lalu.
Pasukan IRT itu akan menyertai pasukan-pasukan rondaan lain seperti Kontinjen Gurkha dan pasukan spesialis dari Markas Operasi Khas untuk melindungi kawasan sekitar perbarisan tahun ini.
"Mereka akan dikerahkan di pusat-pusat beli belah di dalam dan sekitar kawasan Marina Bay dan membuat rondaan terbuka untuk mencegah sebarang serangan pengganas," menurut Timbalan Superintendan (DSP) Ong Ruo Cheng pada Sabtu (4 Ogos).
Menurut DSP Ong lagi, pasukan tersebut terdiri daripada anggota perkhidmatan negara sepenuh masa yang dipilih khas, diberi latihan dan dilengkapi senjata sewajarnya untuk menangani sebarang insiden keselamatan awam.
Selain melakukan tugas-tugas rondaan pada NDP tahun ini, pasukan IRT juga dilatih untuk bertindak pantas menghadapi sebarang insiden yang berlaku di kawasan tengah Singapura seperti di Orchard dan Kawasan Marina Bay.
"Kami dilatih untuk mengendali pelbagai senario seperti serangan bersenjata atau... serangan menggunakan pisau. Jadi, jika kejadian sebegitu berlaku semasa NDP, para pegawai IRT berupaya bertindak balas," kata Inspektor Tan Kim Chuan, yang menguruskan pasukan IRT di NDP.
"Kami memberikan tumpuan kepada insiden keselamatan awam di mana kami 'in-situ', yang bermaksud kami dikerahkan di lokasi. Jadi tindak balas kami lebih pantas," tambah beliau.
Pasukan IRT ini merupakan sebahagian daripada lebih 5,600 anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Polis Singapura (SPF), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan para sukarelawan dari Rangkaian Heartware yang terlibat dalam menguruskan hal-hal keselamatan bagi mereka yang terlibat dan menghadiri NDP tahun ini.
500 lagi kakitangan perubatan dari Pasukan Perubatan SAF, SCDF dan Kementerian Kesihatan juga dikerahkan untuk menyediakan penjagaan kesihatan asas dan menangani keadaan yang memerlukan pemindahan kecemasan.

Tiga stesen mangsa serangan disediakan yang boleh digunakan semasa NDP untuk membantu merawat kecederaan berbeza-beza. Stesen itu mempunyai peralatan seperti mesin pemantauan tekanan darah dan ventilator.
Setiap stesen, yang ditempatkan di luar Bangunan Pit F1 boleh merawat dua mangsa dengan kecederaan teruk serta empat mangsa dengan kecederaan sederhana pada satu-satu masa sebelum mereka dipindahkan ke hospital.
Pelbagai stesen pemeriksaan juga ditempatkan di dalam dan sekitar Pentas Terapung di Marina Bay.
Untuk mengelakkan kenderaan yang tidak dibenarkan memasuki kawasan itu, blok konkrit dipasang di sekitar kawasan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.