Skip to main content

Singapura

Pasukan SCDF di Myanmar akan pulang ke SG pada 8 Apr

Kumpulan anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang dihantar ke Myanmar menyusuli gempa bumi dahsyat pada 28 Mac kini bersiap sedia untuk pulang selepas menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan SCDF di Myanmar akan pulang ke SG pada 8 Apr

Anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang dikerahkan ke Myanmar menyusuli gempa bumi dahsyat pada 28 Mac 2025. (Gambar: Facebook/SCDF)

Diterbitkan : 07 Apr 2025 10:33PM Dikemas Kini : 16 May 2025 03:51PM
  • Kumpulan anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang dihantar ke Myanmar menyusuli gempa bumi dahsyat pada 28 Mac kini bersiap sedia untuk pulang selepas menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sana.
  • Pasukan yang terdiri daripada 80 anggota itu dikerahkan bagi membantu usaha menyelamat berikutan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang mengorbankan ribuan nyawa.
  • Sepanjang dua hari lalu, pasukan berkenaan telah menyerahkan bekalan asas seperti khemah, makanan dalam tin dan makanan siap makan kepada Jabatan Bomba Myanmar (MFSD).
  • Semasa bertugas di ibu negara Naypyidaw — salah satu kawasan yang paling teruk terjejas akibat gempa — pasukan itu berjaya menyelamatkan seorang lelaki dari timbunan runtuhan bangunan pada 30 Mac.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kumpulan anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang dihantar ke Myanmar menyusuli gempa bumi dahsyat pada 28 Mac kini bersiap sedia untuk pulang selepas menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sana.

Pasukan yang terdiri daripada 80 anggota itu dikerahkan bagi membantu usaha menyelamat berikutan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang mengorbankan ribuan nyawa.

Pusat gempa terletak berhampiran Mandalay, bandar kedua terbesar di negara tersebut.

Setakat ini, lebih 3,400 orang dilaporkan maut dan ratusan lagi masih hilang.

Dalam satu kemas kini di laman Facebook pada Isnin (7 Apr), SCDF memaklumkan bahawa pasukan tersebut akan kembali ke Singapura pada petang Selasa.

Sepanjang dua hari lalu, pasukan berkenaan telah menyerahkan bekalan asas seperti khemah, makanan dalam tin dan makanan siap makan kepada Jabatan Bomba Myanmar (MFSD).

Pasukan tersebut turut menyumbangkan dua buah khemah kepada Hospital Wanita Naypyidaw serta lima khemah, ubat-ubatan dan bekalan perubatan lain kepada Hospital Besar Naypyidaw.

“Diharapkan sumbangan ini dapat terus membantu usaha bantuan dan pemulihan sedang rakyat Myanmar berusaha membina semula masyarakat mereka,” jelas SCDF.

Dalam sebuah video yang disertakan dalam catatan tersebut, kontinjen itu melakukan “keluar baris”, satu istilah tentera yang menandakan tamatnya sesuatu misi.
Related article image
Pasukan SCDF menyerahkan keperluan asas kepada pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba Myanmar. (Gambar: Facebook/SCDF)
USAHA MENYELAMAT

Kontinjen Operasi Lionheart dihantar ke Myanmar sehari selepas gempa bumi dahsyat melanda negara tersebut.

Pasukan itu terdiri daripada penyelamat dari Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (DART) elit, anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NS), doktor perubatan Perkhidmatan Negara sepenuh masa, paramedik, pakar pencarian serta empat anjing penghidu, pakar bahan berbahaya dan pegawai sokongan.

Semasa bertugas di ibu negara Naypyidaw — salah satu kawasan yang paling teruk terjejas akibat gempa — pasukan itu berjaya menyelamatkan seorang lelaki dari timbunan runtuhan bangunan pada 30 Mac.

Pemotong hidraulik berkuasa bateri yang memainkan peranan penting dalam misi menyelamat itu dihadiahkan ketua pasukan, Kolonel Tay Zhi Wei, kepada ketua pengarah MSFD bagi pihak SCDF, menurut kemas kini yang dikongsi pasukan tersebut pada Isnin.

“Alat pemotong ini kini menjadi lambang persahabatan antara SCDF dan MFSD, dan akan terus digunakan, untuk menyelamatkan nyawa di tangan MFSD.”
Related article image
Ketua pasukan, Kolonel Tay Zhi Wei, menyerahkan pemotong hidraulik kepada ketua pengarah MSFD bagi pihak SCDF. (Gambar: Facebook/SCDF)
Sebelum berangkat pulang, kontinjen tersebut turut menghadiri majlis penghargaan yang dianjurkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) di Naypyidaw untuk pasukan penyelamat dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Filipina.

Para hadirin turut bertafakur selama seminit semasa majlis tersebut bagi memperingati mangsa-mangsa gempa bumi.

Setiap ketua pasukan juga menerima sijil penghargaan dan sebuah kotak berisi serpihan runtuhan dari lokasi misi menyelamat pasukan masing-masing, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan berharga mereka dalam usaha penyelamatan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita