Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasukan penjagaan bayi pramatang antara 80 kakitangan diiktiraf NUHS

Pandemik COVID-19 meletakkan tekanan ke atas sistem dan petugas jagaan kesihatan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pandemik COVID-19 meletakkan tekanan ke atas sistem dan petugas jagaan kesihatan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. 

Sungguhpun begitu para kakitangan jagaan kesihatan saling menyokong satu sama lain dan melawan gelombang-gelombang jangkitan. 

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata demikian dalam ucapannya di majlis Anugerah Penghormatan Sistem Kesihatan Universiti Kebangsaan (NUHS) pada Jumaat (12 Ogos). 

Dalam ucapannya, Encik Ong menyanjung jasa para petugas jagaan kesihatan yang membantu Singapura mengatasi COVID-19.

Beliau berkata: "Pandemik COVID-19 telah membawa tekanan terhadap sistem jagaan kesihatan dan kakitangan kesihatan di seluruh dunia, dan di Singapura. Namun, anda semua berdiri teguh dan melawan setiap gelombang jangkitan bersama-sama. Kini, kita sudah mendapatkan kehidupan secara normal dalam keadaan endemik, dan rasa selamat di rumah bersama keluarga dan rakan-rakan." 

Dalam majllis penyampaian anugerah tersebut, sejumlah 80 kakitangan jagaan kesihatan NUHS diiktiraf atas sumbangan mereka kepada sistem jagaan kesihatan Singapura. 

Acara anugerah NUHS itu adalah yang pertama diadakan pada skala besar dalam masa dua tahun. 

KAKITANGAN KESIHATAN JAGA BAYI PRAMATANG TERKECIL DI DUNIA

Antara para penerima anugerah adalah pasukan yang perlu merawat dan menyediakan penjagaan kepada bayi pramatang paling kecil di dunia, yang apabila dilahirkan seberat hanya 212g.

Berat itu bersamaan dengan sebiji epal dan betis bayi itu pula bersamaan dengan saiz jari tangan seorang dewasa. 

Ia satu tanggungjawab yang besar untuk dipikul bagi memastikan bayi tersebut, Kwek Yu Xuan, dapat membesar dengan baik. 

Tanggungjawab itu jugalah yang dipikul Profesor Madya Zubair Amin, Dr Yvonne Ng, Dr Krishnamoorthy Niduvaje dan Jururawat Kanan Klinikal Lee Soke Yee.

Pasukan kakitangan jagaan kesihatan itu membentuk pasukan Neonatal NUHS yang bertanggungjawab dalam menyediakan penjagaan yang sesuai, konsisten dan menyeluruh untuk bayi pramatang.

Meskipun peluang untuk bayi itu hidup sangat rendah, pasukan neonatal itu menjaganya sepanjang masa termasuk dengan cara-cara inovatif. 

Antaranya, mereka mengubahsuai tiub susuan dan lampin untuk tubuh kecil bayi itu dan perlu menjaga kulitnya untuk mengurangkan jangkitan.

Pengorbanan dan kerja keras pasukan tersebut juga diiktiraf oleh Encik Ong dalam ucapannya. 

Encik Ong berkata: "Tempoh rawatan selama 13 bulan untuk bayi itu penuh dengan cabaran, namun pasukan itu tidak berputus asa. Selepas dua tahun, Yu Xuan sudah pun dibenarkan pulang dari hospital. Dia kini seorang kanak-kanak yang sihat, ceria dan kerap membuat panggilan video kepada pasukan penjagaannya, atau boleh juga kita katakan, keluarga penjagaan jururawat dan doktor di NUH."

Antara lain, pasukan tersebut juga memulakan beberapa langkah pembetulan tindak cepat bagi menangani kadar retinopati pramatang dalam kalangan bayi-bayi. 

Dengan usaha mereka, kadar retinopati pramatang yang teruk berkurangan daripada 9.4 peratus kepada 5.4 peratus dalam tiga suku pertama tahun lalu. 

Atas sumbangan besar pasukan neonatal itu, mereka juga diiktiraf dengan Anugerah Moctar Riady Pinnacle (Pasukan). 

Dr Yvonne Ng, salah seorang anggota pasukan itu berkata: "Kami berasa sungguh sukacita menerima anugerah hari ini dan ini sebagai penghargaan kami selama ini, pasukan Unit Jagaan Rapi Neonatal (NICU), menjaga anak-anak pramatang dari NICU sehingga mereka pulang ke rumah."

''

"Ini bukan sahaja satu sumbangan satu individu tetapi kerjasama semua anggota hospital, dari jururawat, ahli fisioterapi, pekerja sosial, pakar diet, berserta juga dengan sumbangan ibu bapa terutama sekali," tambahnya. 

Secara keseluruhannya, enam kategori anugerah disampaikan kepada para kakitangan jagaan kesihatan semasa acara tersebut. 

Kepimpinan cemerlang dan kesan perubahan kepada sistem penjagaan oleh empat individu juga diiktiraf menerusi Anugerah NUHS iaitu pengiktirafan tertinggi institusi itu untuk kakitangannya.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan