Pasukan Pemimpin 5G PAP catat kemajuan baik, tiada garis masa ditetapkan: PM Wong
Proses membentuk pasukan pemimpin generasi kelima (5G) Parti Tindakan Rakyat (PAP) berjalan dengan baik, namun tiada jadual tetap ditetapkan bagi pelantikan mereka.
(Dari kiri) Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Goh Pei Ming; Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Zaqy Mohamad; Menteri Pengangkutan, Jeffrey Siow; Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Lawrence Wong; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, David Neo; serta Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Jasmin Lau, pada sidang media di Pusat Akhbar Nasional, MDDI, pada 22 Julai 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
- Lawrence Wong mengumumkan proses pembentukan pasukan pemimpin 5G PAP berjalan lancar tanpa jadual tetap, menekankan penilaian individu sebelum pelantikan.
- Rombakan kabinet diumumkan pada 22 Julai melibatkan beberapa menteri, dengan penekanan pada pendedahan dan pembangunan pemimpin muda.
- Tiada pelantikan Timbalan Perdana Menteri kedua buat masa ini kerana barisan sedia ada dianggap mencukupi untuk menerajui kabinet.
- Pelantikan dua Menteri Kedua bagi Ehwal Dalam Negeri bertujuan memberi pengalaman dan menilai kesesuaian mereka untuk tanggungjawab lebih besar pada masa depan.
Demikian menurut Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Lawrence Wong, semasa sidang media bagi mengumumkan rombakan Kabinet pada Rabu (22 Jul).
"Sudah tentu saya mahu proses ini berjalan secepat mungkin. Namun setiap individu berkembang pada rentak yang berbeza dan perkara itu tidak boleh dipaksa," katanya.
Mengulas mengenai kemajuan pembentukan pasukan 5G, PM Wong berkata setiap pemimpin mempunyai kadar pembelajaran dan perkembangan yang berbeza.
"Oleh itu, tiada jadual tetap. Saya perlu menilai tahap kesediaan setiap individu sebelum membuat pelantikan yang sewajarnya apabila tiba masanya," katanya.
Turut hadir di sidang media itu ialah Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo, Pemangku Menteri Tenaga Manusia Jasmin Lau, Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) Goh Pei Ming serta Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Zaqy Mohamad.
PM Wong berkata kebanyakan pelantikan dalam rombakan Kabinet kali ini dibuat dalam tempoh kurang setahun selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), dan beliau yakin PAP akan terus mencapai kemajuan dalam perancangan penggantian kepimpinan.
TIADA TIMBALAN PERDANA MENTERI KEDUA BUAT MASA INI
Menjawab soalan mengenai ketiadaan pelantikan Timbalan Perdana Menteri kedua, PM Wong berkata Kabinet ketika ini sudah mempunyai seorang Timbalan Perdana Menteri serta tiga Menteri Penyelaras.
Menurut beliau, barisan kepimpinan kanan itu sudah memadai untuk menerajui Kabinet pada masa ini.
Bagaimanapun, PM Wong berkata struktur kepimpinan akan terus berkembang selaras dengan proses pembaharuan kepimpinan.
"Keadaan sentiasa berubah. Para menteri akan terus berkembang dalam peranan masing-masing dan sebahagian daripada mereka mungkin akan memikul tanggungjawab yang lebih besar pada masa hadapan," katanya.
DUA MENTERI KEDUA BAGI EHWAL DALAM NEGERI
Mengulas pelantikan dua Menteri Kedua bagi Ehwal Dalam Negeri, iaitu Sim Ann dan Edwin Tong, PM Wong berkata langkah itu bukan semestinya petanda bahawa Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, K Shanmugam, akan melepaskan portfolio tersebut dalam masa terdekat.
Beliau menarik perhatian bahawa Kementerian Kewangan juga mempunyai dua Menteri Kedua.
Menurut PM Wong, pelantikan sedemikian bertujuan memberi pendedahan kepada pemegang jawatan politik serta menilai kesesuaian mereka untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar pada masa hadapan.
Beliau berkata Encik Shanmugam, yang dilantik sebagai Menteri Kanan dalam rombakan Kabinet kali ini, bersama pemimpin kanan lain akan terus membimbing pemimpin muda.
"Apabila pemimpin kanan melepaskan portfolio mereka kelak, pemimpin muda harus bersedia untuk mengambil alih. Begitulah cara Singapura melaksanakan pembaharuan kepimpinan secara berterusan," katanya.
PM Wong turut menegaskan pendekatannya bukan untuk mengumumkan satu susunan kepimpinan yang kekal bagi tempoh yang panjang, sebaliknya membuat penyesuaian secara berterusan mengikut keperluan.
Menurut beliau, Singapura memerlukan keseimbangan antara pengalaman dan perspektif baharu untuk menghadapi dunia yang semakin tidak menentu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.