Pasukan NTU terima geran kajian AS$2 juta untuk hasilkan ubat COVID-19

(Gambar: Facebook/NTU Lee Kong Chian School of Medicine)
SINGAPURA: Geran kajian bernilai AS$2 juta (S$2.8 juta) bagi menghasilkan ubat-ubatan yang boleh membantu memerangi pandemik diberikan kepada sepasukan saintis yang diterajui Sekolah Perubatan Lee Kong Chian (LKCMedicine) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Geran tersebut diberikan di bawah program besar kajian di Amerika Syarikat yang bertujuan membangunkan ubat-ubatan antivirus bagi memerangi virus yang boleh menyebabkan pandemik seperti Sars-CoV-2 – yang menyebabkan COVID-19 - denggi dan Zika, menurut NTU dalam kenyataan pada Selasa (26 Jul).
Kajian berkenaan yang bakal dijalankan pasukan NTU Singapura adalah sebahagian daripada usaha Pusat bagi Patogen Keprihatinan Pandemik Penerokaan Ubat-Ubatan Antivirus Midwest (AViDD) yang berpangkalan di Universiti Minnesota bagi membangunkan ubat-ubatan antivirus dengan geran oleh Institut Nasional Alahan dan Penyakit Berjangkit (NIAID) di AS.
Pasukan itu dipimpin profesor madya bagi jangkitan dan imuniti Sekolah Perubatan Lee Kong Chian yang juga pengerusi provos dalam perubatan Luo Dahai, seorang pakar virologi berstruktur.
Dr Liew Chong Wai dari Institut Biologi Berstruktur NTU juga sebahagian daripada pasukan itu.
"Pasukan Singapura akan memanfaatkan wadah dan kemudahan kajian biologi molekular dan berstruktur NTU bagi mengenal pasti sasaran ubat-ubatan antivirus baru," menurut universiti itu.
Pasukan AViDD itu berkolaborasi dengan para saintis NTU yang diterajui Prof Reuben Harris, seorang penyiasat dengan Institut Perubatan Howard Hughes dan profesor serta pengerusi di Universiti Texas Health San Antonio.
Dekan Sekolah Perubatan Lee Kong Chian dan naib presiden kanan bagi kesihatan dan sains hayat NTU Profesor Joseph Sung berkata kajian itu akan menambah sumbangan universiti itu dalam usahanya menentang koronavirus dan virus-virus lain.
Naib Dekan Sekolah Perubatan Lee Kong Chian bagi kajian Profesor Lim Kah Leong berkata kajian itu yang dijalankan pasukan NTU akan membantu dunia bersiap sedia bagi pandemik menjangkaui COVID-19.
"COVID-19 adalah amaran bahawa kami perlu bersiap siaga jauh lebih awal bagi pandemik pada masa akan datang," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.