Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasukan korban PERDAUS di Malang semuanya selamat susuli gempa bumi

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan korban PERDAUS di Malang semuanya selamat susuli gempa bumi

Rombongan seramai enam orang yang diketuai Ustaz Abdul Rahman Abdul Aziz (dua dari kiri) dijangka pulang pada 1 Julai. (Gambar: PERDAUS)

BERITAmedicorp: Kesemua enam pegawai dan relawan PERDAUS yang berada di Malang, Indonesia kini dalam keadaan selamat selepas kawasan itu dilanda gempa bumi. 

Menurut data rasmi oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), gempa bumi sekuat 6.6 pada skala Richter melanda kota Bantul di Yogyakarta pada pukul 8.57 malam waktu tempatan (30 Jun).

Gempa yang melanda pada kedalaman 12 kilometer, menurut BMKG, tidak berkemungkinan mencetuskan tsunami. 

Gegarannya turut dirasakan sehingga ke Malang dan Surabaya.  

Pasukan PERDAUS berada di Malang bagi menyempurnakan ibadah korban untuk para sohibul korban Singapura. 

Menurut Pegawai Eksekutif Kanan, Khidmat Perhubungan PERDAUS, Khatim Hamidon, pihaknya di Singapura dimaklumkan tentang kejadian itu pada sekitar jam 9.00 malam. 

"Ketika berlaku gempa, dua pegawai berada di dalam bilik hotel, sedang menyelesaikan kerja-kerja pentadbiran. Yang lain pula keluar makan malam. Sebenarnya ketika gempa berlaku dan bergegar, pegawai PERDAUS yang berada di dalam bilik hotel fikir ia tidak serius," jelas Cik Khatim. 

"Memandangkan mereka sudah pernah mengalami kejadian seperti ini. Mereka mulanya tiada niat untuk keluar. Namun bila botol-botol air minum mulai jatuh dari meja, barulah mereka sedar keadaan mungkin cukup serius. Jiran-jiran bilik hotel sudah mulai riuh- rendah. Pegawai PERDAUS langsung ambil pasport untuk 'evacuation' dan keluar bilik," tambahnya. 

Menurut pegawai PERDAUS yang terjejas, gegaran berlarutan selama kira-kira setengah minit.

Mereka juga memaklumkan Cik Khatim bahawa keadaan di sana sudah kembali tenang. 

Rombongan seramai enam orang yang diketuai Ustaz Abdul Rahman Abdul Aziz dijangka pulang ke tanah air esok (1 Julai). 

"Buat masa ini, sebagai langkah berjaga-jaga, kami mengarahkan anggota kami untuk bersiap-siap dengan beg dan bagasi mereka, supaya sudah bersedia untuk dipindahkan jika gempa berlaku lagi. Kami juga menasihatkan supaya mereka senantiasa kemas kini keluarga di Singapura tentang keadaan mereka," kongsi Ustaz Abdul Rahman. 

Menurut beliau, jika keadaan bertambah buruk, mereka akan bertolak ke Surabaya pada malam ini juga.

Perjalanan darat ke Surabaya mengambil masa kira-kira dua jam dari Malang. 

Sebanyak 729 kambing korban diuruskan pihak PERDAUS di Malang. (Gambar: PERDAUS)
Sebanyak 729 kambing korban diuruskan pihak PERDAUS di Malang. (Gambar: PERDAUS)

Pasukan PERDAUS itu tiba di Malang pada Rabu (28 Jun) bagi memastikan penyembelihan 729 kambing berjalan seperti yang diamanahkan para sohibul korban Singapura. 

Ibadah korban itu dilaksanakan semalam (29 Jun) dan kesemua urusan pengagihan daging korban juga sudah selesai.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan