Pasukan keselamatan pengangkutan Singapura di Jakarta bantu siasat nahas Sriwijaya Air
Sebuah pasukan dari Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura sedang membantu dalam siasatan berhubung nahas pesawat Sriwijaya Air, kata Kementerian Pengangkutan Singapura pada Ahad (17 Jan).
2 penyiasat S'pura (kiri dan kanan) di Jakarta bantu pasukan Indonesia siasat nahas Sriwijaya Air. (Gambar: Facebook/Ong Ye Kung)
SINGAPURA: Sebuah pasukan dari Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura sedang membantu dalam siasatan berhubung nahas pesawat Sriwijaya Air, kata Kementerian Pengangkutan Singapura pada Ahad (17 Jan).
Kedua-dua penyiasat itu tiba di Jakarta pada Rabu selepas Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (KNKT) menerima tawaran Singapura untuk membantu dalam siasatan tersebut.
Penerbangan SJ182 terputus hubungan dengan kawalan lalu lintas udara beberapa minit selepas ia berlepas dari Jakarta ketika hujan lebat pada 9 Januari. Pesawat Boeing 737-500 itu terhempas di Laut Jawa dan meragut nyawa kesemua 62 penumpang dan anak kapal.
Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung berkata kedua-dua penyiasat itu bekerjasama dengan pasukan Indonesia untuk mengkaji data dan bangkai pesawat yang ditemui.
"Alexander Leong mempunyai kepakaran dalam alat perakam penerbangan dan bekerjasama dengan pasukan Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional di Jakarta untuk mengkaji data yang diperolehi.
"David Lim, seorang jurutera penyenggaraan pesawat berlesen, membantu pasukan di pelabuhan Tanjung Priok untuk mengkaji bangkai pesawat yang ditemui setakat ini," kata Encik Ong dalam catatan Facebooknya pada Ahad.
Pasangan itu mempunyai gabungan pengalaman selama 18 tahun dalam penyiasatan insiden penerbangan, kata menteri itu dalam catatan Facebooknya.
Encik Ong menambah: "Ini adalah tugas yang teliti dan rumit. Beberapa data telah diperolehi. Kami mengharapkan perkembangan lebih positif dalam beberapa hari mendatang."
Sebuah pasukan dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS juga berada di Jakarta untuk membantu dalam siasatan, kata pihak berkuasa Indonesia pada Sabtu.
Pasukan Amerika Syarikat itu terdiri daripada wakil-wakil Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS, Boeing dan General Electric.
Mereka menyertai pasukan Singapura di pusat arahan mencari dan menyelamat di pelabuhan Tanjung Priok di Jakarta untuk meneliti beberapa serpihan pesawat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.