Pasukan kecemasan SCDF selamatkan pekerja cedera dari kren setinggi 40m
Seorang pekerja yang mengalami kecederaan pada kakinya semasa berada di atas sebuah kren pada ketinggian 40 meter diselamatkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada petang Isnin (7 Sep).
Seorang pekerja yang mengalami kecederaan pada kakinya semasa berada di atas sebuah kren pada ketinggian 40 meter diselamatkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura.(Gambar: Facebook/SCDF)
SINGAPURA: Seorang pekerja yang mengalami kecederaan pada kakinya semasa berada di atas sebuah kren pada ketinggian 40 meter diselamatkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada petang Isnin (7 Sep).
Sebuah pasukan bomba dan para pakar daripada pasukan penyelamat dan bantuan bencana (DART) SCDF dikerahkan untuk membawa turun lelaki itu ke tempat selamat, menurut pihak berkuasa dalam satu catatan Facebook pada Selasa.
Kejadian itu berlaku di sebuah tapak binaan di How Sun Drive pada sekitar 4.30 petang.
"Sepasukan empat pakar DART memanjat tangga menaiki kren itu dan melintasi palang kren yang sempit untuk sampai ke lelaki yang cedera itu," menurut SCDF.
Mereka menetapkan kedudukan mereka dengan mantap dan membangunkan sistem melibatkan tali dan kapi untuk membawa turun lelaki itu.
"Salah seorang daripada pakar itu yang juga dilatih sebagai juruteknik perubatan kecemasan, membalut luka lelaki itu semasa beliau tergantung pada ketinggian 40 meter," menurut pihak berkuasa.
Langkah seterusnya melibatkan sebuah lagi pasukan pakar DART yang berada di bawah, memasang pengusung pada tali yang disalurkan oleh pasukan di atas kren itu.
Kedua-dua pasukan tersebut menaikkan pengusung itu dan lelaki yang cedera itu diletakkan di atasnya dengan selamat.
"Dengan semua peralatan dipasang satu jam selepas operasi tersebut, tiba masanya untuk membawa turun lelaki itu ke tempat selamat," menurut SCDF.
Seorang anggota paramedik memeriksa pekerja itu sebelum menghantarnya ke Hospital Besar Sengkang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.