Skip to main content

Singapura

Pasukan GRC Nee Soon aktif fahami keperluan penduduk baru, bantu integrasikan mereka dengan komuniti: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Dr Faishal Ibrahim, berkata bazar Ramadan di kawasan kejiranan berperanan penting dalam menyatukan masyarakat pelbagai bangsa dan agama, mencipta suasana perayaan yang harmoni.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis pelancaran Ramadan Bazaar di Nee Soon pada Sabtu (9 Mac), yang turut dihadiri oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam, Encik Louis Ng Kok Kwang, Encik Derrick Goh, dan Cik Carrie Tan.

Ketika ditemui media, Dr Faishal ditanya mengenai keyakinan pasukannya dalam berinteraksi dengan penduduk baharu di Chong Pang, serta sama ada ia memerlukan penambahan ahli dalam pasukan di Nee Soon.

Menurut beliau, pasukannya secara aktif berinteraksi dengan penduduk baharu di Chong Pang bagi membantu mereka menyesuaikan diri dan mengintegrasikan diri ke dalam komuniti setempat.

"Satu perkara yang baik ialah kita mempunyai pembangunan yang dibina dalam persekitaran lama, sesetengahnya adalah kawasan yang lebih baru, dan kita telah dapat menghubungi mereka. Sebagai contoh, di kawasan saya, saya mempunyai kondominium, dan juga pembangunan baru yang akan datang, dan apa yang kami lakukan adalah kami terus melibatkan diri dan menyatukan mereka untuk bergaul. Pada masa yang sama, membantu penduduk sedia ada untuk memahami keperluan penduduk baru, supaya kita dapat terus membina semangat kampung ini." ujar Dr Faishal.

Dalam pada itu, Dr Faishal turut menekankan bagaimana bazar sebegitu boleh menyatukan masyarakat daripada pelbagai budaya dan bangsa.

"Satu aspek yang unik ataupun yang kami rasa gembira kerana ada gerai-gerai yang dijalankan oleh penduduk-penduduk di sini. Ini yang kita mahu memberi peluang kepada para peniaga dari rumah dan mereka tampil ke depan. Mereka adakan gerai di sini. Dan tadi kita nampak memang dalam habis hari pertama. Jadi ini satu gambaran yang baik dan kami akan teruskan usaha seperti ini kerana usaha seperti ini menyatukan masyarakat di mana kita dapat melihat penduduk-penduduk yang datang daripada pelbagai bangsa dan agama sama-sama untuk meraikan suasana di sini," tambahnya.

Bazar Ramadan di Yishun Street 72 yang berlangsung selama dua minggu itu menampilkan lebih daripada 100 gerai makanan dan gaya hidup.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita