Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasukan elit keselamatan penjara manfaatkan teknologi serba canggih tangani banduan ganas

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan elit keselamatan penjara manfaatkan teknologi serba canggih tangani banduan ganas

(Gambar: Aqil Haziq Mahmud/CNA)

SINGAPURA: Di salah sebuah lokap di Penjara Changi, seorang "banduan" sedang membuat kecoh.

Terdapat tanda-tanda nyata sudah tercetus kekecohan: Banduan itu sedang memekik dan menumbuk tembok. Dia juga menutup kamera pengawasan di dalam lokapnya dan juga tingkap pada pintunya, menghambat para pegawai daripada melihat langkah seterusnya. 

Pasukan Respons Tindakan Kecemasan Penjara Singapura (SPEAR), iaitu sebuah pasukan elit dan taktikal, lengkap bersenjata, yang sudah dilatih untuk memberi respons kepada pelanggaran keselamatan atau kekacauan, dikerahkan.  

Ini sebahagian daripada demonstrasi oleh unit tersebut di pangkalannya di Penjara Changi pada Selasa (8 Feb) untuk menunjukkan teknologi yang digunakan untuk menangani banduan-banduan ganas. 

Menurut Jabatan Penjara Singapura (SPS) dalam satu kenyataan media, para anggota SPEAR dikerahkan untuk membantu kakitangan operasi dalam menangani banduan-banduan yang lebih serius ataupun ganas. 

"SPS sudah pun melabur dalam teknologi dan latihan bagi kesemua kakitangan kami untuk memperkukuhkan lagi keupayaan operasi kami untuk memberi respons kepada kejadian-kejadian keganasan antara para banduan," menurut agensi tersebut. 

Kenyataan itu menyusuli statistik-statistik terkini yang mendedahkan bahawa kadar serangan di penjara untuk tahun 2021 diramalkan sekitar 46 insiden bagi setiap 10,000 banduan. 

SPS juga menyatakan bahawa kadar tersebut "sudah menjadi stabil" sejak 2019 dan 2020, apabila kadarnya masing-masing mencatatkan sekitar 46 dan 47. Namun, kadar serangan itu sudah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila berada dalam lingkungan antara 24.4 pada 2016 dengan 39.1 pada 2018. 

Secara lazimnya, serangan itu meliputi serangan oleh para banduan terhadap para kakitangan penjara ataupun banduan lain dan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan yang serius, menurut SPS. 

Para anggota SPEAR dikerahkan sekitar sekali dalam dua minggu, menurut pegawai kanan Penguasa Penjara Derry Teh, meskipun beliau mendedahkan bahawa bukan setiap kerahan memerlukan kekerasan. 

Semasa demonstrasi tersebut, seorang banduan berbadan besar kelihatan seperti ingin membuat kecoh. Di dalam seluar lelaki itu, terdapat satu senjata yang dibuat sendiri, iaitu batang plastik yang dibuat daripada satu kotak peralatan yang sudah pecah. 

Enam anggota pasukan SPEAR yang memegang perisai dan pelbagai peralatan menghampiri pintu sel tersebut. Salah seorang anggota itu mencangkung dan memasukkan kamera kecil di bawah pintu tersebut. Kini, mereka dapat melihat banduan itu, dengan rakaman video secara langsung pada skrin yang diletakkan pada tangan pegawai tersebut.

KACAU DAN BUAT BANDUAN PENGSAN SEKETIKA 

Para pegawai berkomunikasi menerusi isyarat tangan dan memutuskan bahawa sudah masanya untuk mereka bertindak. 

Salah seorang daripada mereka menolak anak selak pada pintu lokap tersebut dan menembak bebola lada ke dalam lokap tersebut, menggunakan senjata yang dilengkapkan dengan kanister. 

"Oi!" pekik banduan itu, yang mendapati sukar untuk membuka matanya. 

Selepas itu, seorang pegawai membuka selak pintu itu sekali lagi untuk melempar sesuatu yang kelihatan seperti bom renjatan untuk membuat banduan itu pengsan seketika. 

Tiga pegawai SPEAR kemudian bergegas masuk dengan perisai mereka dan menahan banduan itu. Dua daripada mereka memegang tangan banduan manakala yang ketiga menekan rahangnya dan menolak kepalanya ke bawah, sambil memberi arahan. 

Sedang banduan itu masih tidak mahu mematuhi arahan, para pegawai meletakkannya di sebuah kerusi roda yang bermotor, yang digunakan untuk membawa para banduan ke tempat seterusnya. 

Sebelum ini, empat pegawai SPEAR akan mengiringi banduan yang tidak mahu mematui arahan dengan menurun tangga, sambil menekannya pada susur tangan dan berjalan bersama-sama, iaitu satu proses yang lebih perlahan dan meletihkan. 

(Gambar: Aqil Haziq Mahmud/CNA)

ROBOT UNTUK MENANGANI PARA BANDUAN? 

Penguasa Penjara Teh menyatakan bahawa penggunaan teknologi SPEAR tidak berhubung kait dengan kadar serangan di penjara, sambil menekankan bahawa unit "progresif" itu kerap menyemak strategi-strategi dan peralatan mereka. 

"Namun, jika kami saksikan situasi baru yang memerlukan keupayaan baru, sudah pasti kami akan cuba mengisikan jurang tersebut sebaik mungkin," tambahnya. 

Beliau juga mendedahkan bahawa unit tersebut juga sedang menyemak sebuah robot yang boleh merakam video yang disiarkan secara langsung. 

Sumber : CNA/Ny/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan