Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasukan EBSC tunggak sokongan psikologi, emosi pegawai barisan hadapan SCDF

Sebagai sebahagian daripada unit Sains dan Jagaan Kelakuan Kecemasan (EBSC), yang berfungsi sebagai tunggak bagi sokongan psikologi dan emosi SCDF, Cik Khoo membantu pegawai barisan menghadapi situasi harian serta operasi yang mencabar dari segi mental.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan EBSC tunggak sokongan psikologi, emosi pegawai barisan hadapan SCDF

Kakitangan ambulans SCDF bertindak balas memberi respons kepada satu simulasi kemalangan lalu lintas jalan raya. (Gambar: SCDF)

SINGAPURA: Gempa bumi yang dasyat, kemalangan jalan raya dengan ramai korban jiwa dan kes pembunuhan seorang kanak-kanak kecil.

Bagi Cik Khoo Swee Giang, semua insiden kritikal itu menggambarkan keperluan tanggungjawabnya sebagai ahli psikologi utama serta ketua pejabat penjagaan dan kesejahteraan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Tugas beliau bermula sebaik sahaja pegawai barisan hadapan SCDF selesai menjalankan tanggungjawab mereka.

Sebagai sebahagian daripada unit Sains dan Jagaan Kelakuan Kecemasan (EBSC), yang berfungsi sebagai tunggak bagi sokongan psikologi dan emosi SCDF, Cik Khoo membantu pegawai barisan menghadapi situasi harian serta operasi yang mencabar dari segi mental.

Cik Khoo berkata ramai orang mempunyai gambaran pegawai SCDF sebagai "wira".

“Namun, saya rasa ia adalah penting juga untuk ingat bahawa di sebalik setiap peralatan yang mereka pakai, atau seragam biru yang mereka sarungkan, adalah lelaki dan wanita biasa. Mereka mempunyai keluarga seperti kita semua, mereka juga ada kekuatan serta kelemahan," terangnya.

“Kami juga ada bilangan agak besar NSF (anggota perkhidmatan sepenuh masa), yang mungkin belum pernah bekerja sebelum ini tetapi sebaik sahaja mereka menyertai SCDF, mereka perlu melawan api atau menangani kes kecemasan."

“Dengan semua insiden kritikal yang mereka hadapi itu, sudah tentu ada kalanya mereka perlukan lebih sokongan dan bantuan," tambahnya.

KAEDAH "BERSTRUKTUR" TANGANI EMOSI

Selepas sesuatu insiden, EBSC akan menghubungi Stesen Bomba dan mendekati para-kaunselor di lapangan kerana mereka "mungkin menerima berita daripada orang dalam" tentang bagaimana pegawai barisan hadapan menangani insiden tersebut.

Ahli psikologi EBSC juga perlu dilatih dalam pengurusan tekanan insiden kritikal, kata Cik Khairiyah Kassim, ahli psikologi utama serta ketua cabang operasi dan daya tahan psikologi.

“Sebagai seorang ahli psikologi, anda perlu bersikap profesioal dan memastikan anda cekap untuk melakukan tugas anda. Anda tidak boleh bertanya seseorang yang sudah banyak melakukan kerja menyelamat dan mula bercakap tentang soal emosi mereka secara mendadak. Ini bukan cara bagaimana sesetengah kakitangan kita berfungsi kerana emosi adalah sesuatu kelemahan," ungkapnya.

“Itu sebabnya ia perlu dilakukan dengan berstruktur bagi kami sampai ke tahap tersebut. Ada cara-cara untuk melakukannya, langkah-langkah yang harus kami buat dan kami perlu dilatih untuk melakukannya."

Kita perlu jalin hubungan dan tanyakan soalan yang "sangat disasarkan tetapi membolehkan individu itu berasa okey saja", tambah Cik Khairiyah.

Cik Khoo pula menarik perhatian antara cabaran terbesar yang perlu ditangani ahli psikologi EBSC termasuk krisis bunuh diri.

“Ada juga kakitangan kami yang mungkin sedang sedang melalui masalah peribadi umpamanya - yang memberi tekanan kepada mereka sehingga mereka terfikir untuk membunuh diri atau mencederakan diri sendiri. Semua itu dianggap krisis di mana kami perlu terus membantu individu tersebut," katanya.

Namun, timbul salah faham bahawa EBSC hanya campur tangan apabila ia melibatkan isu kesihatan mental tetapi perkara itu tidak benar, kata Cik Khairiyah.

“Kami mahu memastikan apabila kami berkata ' bersedia secara operasi', ia bukan sahaja bersedia dari segi mental tetapi kami juga cuba untuk memastikan (sokongan psikologi) menyumbang kepada pekerjaan itu sendiri sebagai kakitangan barisan hadapan serta tindak balas kecemasan mereka."

Dalam situasi di mana seseorang mengalami "masalah menyesuaikan diri" selepas terdedah kepada insiden kritikal, pasukan EBSC menjalankan taklimat berstruktur untuk "membantu individu berkenaan kembali melakukan tugas hariannya," kata Cik Khairiyah.

Alhi psikologi EBSC juga menyediakan konsultasi kepada pasukan berdasarkan bukti dan maklumat untuk memahami keperluan mereka sebelum mengesyorkan pelbagai kaedah intervensi.

PENYELIA LATIHAN KENAL PASTI TANDA-TANDA

EBSC memastikan penyelia dilatih bagi mengenal pasti tanda-tanda yang berkemungkinan trauma mental selepas insiden kritikal, memandangkan terdapat ramai pegawai SCDF untuk dijaga.

Cik Khoo menambah ini termasuk "tingkah laku luar biasa" seperti apabila seseorang yang biasanya periang kelihatan menyendiri. Satu lagi tanda adalah apabila seseorang cuba mengelakkan diri. Misalnya, apabila seseorang individu pernah dikerahkan untuk menangani kes pediatrik dan beliau cuba mengelak apabila panggilan tugas serupa datang kemudian.

Cik Khairiyah menekankan penyelia juga dimaklumkan bahawa setiap individu menunjukkan gejala berbeza.

LATIHAN DAYA TAHAN

Bagaimanapun, penyelia dan para-kaunselor tidak selalunya dapat mengenal pasti tanda-tanda tekanan dalam kalangan pasukan mereka. EBSC membantu pegawai mengenal pasti tanda-tanda tersebut dalam diri mereka terlebih dahulu dengan meletakkan mereka di bawah latihan daya ketahanan.

Semasa latihan itu, mereka diajar cara untuk mengenal pasti tanda-tanda kognitif, kelakuan serta fizikal.

Untuk memecahkan stigma yang terpalit dengan tindakan meminta bantuan, Cik Khoo menambah EBSC merangkumkan daya ketahanan peribadi sebagai meliputi empat domain kecergasan: fizikal, mental, emosi dan sosial.

Cik Khairiyah menekankan adalah penting untuk menjaga diri sendiri. Meskipun pengurusan moral dalam kalangan pasukan penting, langkah utama ialah meningkatkan kesedaran diri, tambahnya.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan