Pasukan DART tarik keluar pemandu tersepit dalam lori susuli nahas di SLE; lelaki dikejarkan ke hospital

Gambar: SCDF/Facebook
SINGAPURA: Seorang pemandu berusia 44 tahun dikejarkan ke hospital dalam keadaan sedar setelah diselamatkan daripada terperangkap di dalam lori oleh para anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada petang Rabu (2 Ogos).
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai nahas antara sebuah lori dan lori jongket di Ekspreswe Seletar (SLE) menghala ke Ekspreswe Bukit Timah (BKE) pada sekitar 3.20 petang.
Dalam hantarannya di Facebook, SCDF menyatakan bahawa seorang lelaki ditemui terperangkap di tempat duduk pemandu lori berkenaan apabila pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian.
Bahagian depan lori itu remuk dengan teruk, mengakibatkan bahagian bawah badan lelaki itu tersepit di bawah papan pemuka kenderaan tersebut.

Menurut SCDF, para kakitangan ambulans menghulurkan bantuan perubatan untuk menstabilkan kecederaan lelaki tersebut, sedang pasukan penyelamat termasuk para pegawai daripada Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (DART) berusaha menjalankan operasi menyelamat.
"Para penyelamat SCDF menggunakan dua tanjakan hidraulik yang boleh dipanjangkan untuk menekan papan pemuka, sekali gus menolaknya daripada mangsa dan dengan berbuat demikian ia mewujudkan ruang untuk menarik keluar (mangsa yang tersepit)," tambahnya.
Lelaki tersebut kemudian dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat.
Siasatan polis masih dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.