Pasukan bola sepak berjalan SG ukir langkah ke persada antarabangsa
Pasukan bola sepak berjalan Singapura yang terdiri daripada pemain berusia lingkungan 40-an hingga 70-an bakal bersaing dalam Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Berjalan Antarabangsa (IWFF) 2026 yang berlangsung dari 28 hingga 31 Mei. (Gambar: Dee Dee Mahmood)
Ini termasuk beberapa pemain Melayu/Islam yang “berkorban” Hari Raya Aidiladha mereka untuk mengharumkan nama negara.
Perlawanan pertama pasukan Singapura dijadual berlangsung pada pukul 10.40 pagi Khamis (28 Me) ini. IWFF akan berlangsung hingga 31 Mei 2026.
DAHULU BERAT BADAN 150 KG, KINI ATLET NEGARA
Pasukan Singapura terdiri daripada pemain berusia lingkungan 40-an hingga 70-an dan bakal bersaing dengan pasukan dari pelbagai negara termasuk England, Poland, Sweden, Jerman, Malaysia dan New Zealand.
Antara mereka ialah Encik Zamri Ismail, 54 tahun.
Apa yang bermula sekadar usaha untuk menurunkan berat badan kini membawa Encik Zamri ke persada antarabangsa.
Pada satu ketika dahulu, beliau hanya menyertai sukan bola sepak berjalan atau 'walking football' untuk menjaga kesihatan selepas berat badannya mencecah 154 kilogram.
Bercakap dengan BERITA Mediacorp semasa sesi latihan di Sekolah Menengah Bedok Green, Encik Zamri, yang bertugas sebagai penolong pengurus pencahayaan di Marina Bay Sands, berkata: "Sebelum masuk ‘walking football’ ni, berat badan saya dah cecah lebih daripada 150 kilogram. Lebih daripada 15 tahun saya pegang berat badan ini."
Dengan latihan dan bimbingan kesihatan daripada jurulatih, Encik Zamri berjaya menghilangkan lebih 50 kilogram berat badannya.
“Saya tidak fikir jauh pun. Pada mulanya, saya ingat bola sepak berjalan ini setakat untuk jaga kesihatan, hujung minggu main bola, suka-suka sahaja," ujarnya.
Apa yang menjadikan peluang itu lebih bermakna ialah keadaan kesihatan yang dahulunya pernah begitu membimbangkan.
Beliau berdepan pelbagai masalah kesihatan termasuk pembesaran jantung, hernia, tekanan darah tinggi serta kecederaan pada buku lali dan lutut.
Mengimbas kembali, Encik Zamri berkata: “Sampai satu ketika, jantung saya terasa seperti dicucuk-cucuk apabila mahu berjalan. Pada masa itu saya sedar bahawa saya tidak boleh meneruskan (kehidupan) seperti ini."
Cabaran terbesar terletak pada mentaliti dirinya sendiri.
Perjalanan itu turut mendapat sokongan isteri dan tiga orang anaknya, malah akhirnya menjadi kegiatan yang mengeratkan hubungan mereka.
Terlebih dahulu, isterinya, Cik Kasmawarni Yayit, 58 tahun, menyertai Walking Football4Health (Waf4H) pada 2018 sebelum membawa Encik Zamri dan anak-anak mereka bersama ke sesi latihan.
Penjaga gawang itu, yang turut dikenali sebagai 'tanker' di padang bola, berkata: “Selagi saya boleh berjalan, boleh berdiri dan jaga gawang, saya akan terus beri 100 peratus.”
Bagi pemain lain juga, sukan tersebut menjadi ruang untuk mereka kembali aktif dan yakin dengan diri sendiri.
Antaranya ialah pemain paling berusia, Encik Gary Yun, 70 tahun.
Bekas pemandu teksi itu menyertai Waf4H pada 2024 selepas diperkenalkan kepada sukan tersebut menerusi NTUC Walking Football.
Ketika mula menyertai sukan itu, beliau mengalami masalah koordinasi badan dan pergerakan yang tidak stabil.
Namun kini, beliau akui sukan tersebut banyak membantu meningkatkan stamina dan keyakinan dirinya.
“Pada usia 70 tahun, saya rasa bola sepak berjalan ini sangat baik untuk warga emas seperti saya dalam menjaga kesihatan,” kata Encik Gary.
Penyerang hadapan pasukan itu juga tertarik dengan sifat sukan itu yang lebih selamat untuk warga emas.
“Saya tidak perlu terlalu risau tentang kecederaan kerana ia sukan tanpa sentuhan,” tambah beliau.
Selain kesihatan fizikal, Encik Gary berkata sukan itu turut membuka ruang untuk beliau berinteraksi dengan pemain daripada pelbagai kaum, latar belakang dan generasi.
“Saya hormat setiap pemain dan cuba belajar daripada mereka serta berkongsi pengalaman hidup,” ujarnya.
Ditubuhkan pada 2016, Waf4H kini mempunyai hampir 100 pemain dengan sesi latihan diadakan setiap Rabu dan Ahad selama dua jam di padang bola Sekolah Menegah Bedok Green.
Menjelang kejohanan tersebut, pasukan itu turut meningkatkan intensiti latihan dengan sesi latihan tambahan setiap Jumaat.
PERKEMBANGAN BOLA SEPAK BERJALAN DI SG
Bagi pengasas Waf4H, Dr Dee Dee Mahmood, ia merupakan sukan yang turut menawarkan wadah untuk membantu masyarakat mengekalkan kesihatan fizikal, mental dan sosial, sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
"Ada yang datang dengan masalah jantung, kencing manis atau keyakinan diri yang rendah. Tetapi bila mereka mula bermain bersama, mereka kembali percaya pada diri sendiri," kata Dr Dee Dee, 62 tahun.
Penyertaan pasukan Singapura dalam kejohanan itu merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan, terutama sekali apabila melihat sejauh mana para pemain telah berkembang sejak mula menyertai.
“Dengan ke peringkat antarabangsa dan kini kejohanan, ia merupakan pencapaian tertinggi sekali," ujar Dr Dee Dee yang juga merupakan pakar fisiologi senaman Singapura.
Secara keseluruhan, pasukan Singapura bakal mengharungi sembilan perlawanan sepanjang peringkat kumpulan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.