Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu, semangat peniaga buat penyesuaian cerminan iltizam kuat S'pura bangkit semula
Semangat gotong-royong dalam masyarakat sememangnya satu kekuatan yang mampu membantu Pemerintah untuk mengharungi pelbagai cabaran di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang ini.
Iltizam kuat untuk bangkit dalam masyarakat Melayu ketara. (Gambar fail: Juliana Jahayer, Masagos Zulkifli, MENDAKI SENSE/Facebook)
SINGAPURA: Semangat gotong-royong dalam masyarakat sememangnya satu kekuatan yang mampu membantu Pemerintah untuk mengharungi pelbagai cabaran di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang ini.
Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu yang dibentuk pada April lalu mencerminkan usaha sedemikian dan disebut sebagai contoh dalam ucapan nasional yang disampaikan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing sebentar tadi (14 Jun).
Ucapan Encik Chan bertajuk "Menyara hidup dalam dunia COVID-19" adalah yang keempat dalam siri Siaran Nasional oleh enam pemimpin negara untuk membentangkan rancangan bagaimana Singapura boleh bangkit lebih kukuh daripada penularan COVID-19.
Encik Chan menekankan, mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dan latihan sepanjang 12 bulan akan datang sememangnya adalah keutamaan Pemerintah. Ia juga akan memastikan tiada segmen pekerja terabai.
"Kita akan pastikan semua orang, termasuk mereka yang bekerja dalam ekonomi gig, akan mendapat bantuan," kata Encik Chan.
Matlamat tersebut bagaimanapun, memerlukan pelbagai pihak berganding bahu. Di sinilah, pihak seperti Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu, memainkan peranan.
Pasukan bertindak itu dibentuk Menteri Bertanggungjawab dalam Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dan disokong lima Anggota Parlimen Melayu/Islam lain.
Ia turut dianggotai wakil-wakil dari rangkaian M³ - MUIS, Yayasan MENDAKI dan MESRA - serta pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam lain.
Jadi usaha-usaha seperti sokongan untuk keluarga dan pelajar, pekerjaan mahupun sektor keagamaan, menjadi lebih padu.
"Mendaki SENSE misalnya, akan hubungkan pencari kerja dengan sektor yang pesat berkembang dan perkukuh akses kepada peluang meningkatkan kemahiran. Kami akan bekerja keras untuk pastikan setiap orang yang mahukan pekerjaan boleh mendapatkannya," terang Encik Chan.
Beliau menambah, pusat pekerjaan akan ditubuhkan di setiap estet perumahan untuk memperhebat lagi usaha memadankan mereka yang menganggur dengan pekerjaan baru.
(Gambar: Kementerian Perhubungan dan Penerangan)
Dalam pada itu, selain menggariskan hala tuju Singapura untuk bangkit semula, Encik Chan ada berkongsi beliau melihat sendiri semangat para peniaga untuk terus berdaya tahan. Tiga peniaga Melayu disebutnya sebagai contoh.
"Misalnya, banyak perniagaan F&B seperti Taliwang, Kampong Glam Café dan Julie Bakes sediakan menu khidmat penghantaran untuk memenuhi permintaan lebih ramai pelanggan. Kami akan bantu anda ubah operasi dan tembusi pasaran-pasaran baru," katanya.
PERSIAPAN MASA DEPAN, USAHA DPPMS
Encik Chan menambah, selain mengatasi cabaran masa kini, rakyat juga harus membuat persiapan bagi masa depan. Dalam hal ini, Pemerintah katanya akan terus melabur dalam rakyat dan perniagaan, serta prasarana untuk mengukuhkan kekuatan yang membuat Singapura terserlah.
"Kami akan pastikan setiap rakyat Singapura - muda dan tua, setiap perniagaan - besar dan kecil, dapat manfaatkan wadah digital dan berkembang maju," kata Encik Chan.
"Saya alu-alukan usaha DPPMS membantu perniagaan-perniagaan bina keupayaan digital mereka, melalui siri webinar dan sokongan yang diberi kepada pemilik perniagaan di kawasan Kampong Gelam untuk gunakan huraian digital.
"DPPMS turut bekerjasama dengan pihak media untuk tingkatkan kesedaran tentang pentingnya SME merubah perniagaan mereka. Saya harap lebih ramai akan manfaatkan inisiatif dan skim sokongan yang sedia ada," ujar beliau.
Ucapan penuh Encik Chan boleh dibaca menerusi pautan ini:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.