Pasukan Bertindak pimpinan Amrin ditubuh demi pacu perubahan landskap kesihatan rakyat S’pura
Satu pasukan bertindak berbilang agensi ditubuhkan untuk memacu perubahan pada landskap kesihatan rakyat Singapura di peringkat nasional.

Gambar fail Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin.
SINGAPURA: Satu pasukan bertindak berbilang agensi ditubuhkan untuk memacu perubahan pada landskap kesihatan rakyat Singapura di peringkat nasional.
Demikian diumumkan oleh Menteri Kesihatan Gan Kim Yong hari ini (4 Nov) di acara sempena Hari Kencing Manis Sedunia 2018.

Encik Gan melantik Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin, untuk menerajui pasukan bertindak lima anggota itu.
Lagi empat anggotanya adalah:
1. Setiausaha Parlimen Kanan Pengangkutan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Baey Yam Keng.
2. Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Tenaga Manusia, yang juga Datuk Bandar CDC Barat Daya, Low Yen Ling.
3. Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
4. Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Sun Xueling.
Menerusi laman Facebooknya pagi ini, Encik Amrin turut memuat naik catatan tentang pasukan bertindak yang akan dipimpinnya itu. Menurut Encik Amrin, meskipun semakin ramai rakyat Singapura mengamalkan gaya hidup sihat, lebih banyak usaha boleh dan perlu dijalankan.
"Kami akan memanfaatkan kuasa rangkaian masyarakat, prasarana, teknologi dan kefahaman tentang perilaku seseorang individu (behavioral insights), untuk terus menggalak gaya hidup sihat," kata Encik Amrin.
Pasukan bertindak itu akan menyepadu dan menyelaras usaha-usaha pelbagai agensi awam termasuk Kementerian Pembangunan Negara, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia serta Majlis Pembangunan Masyarakat.
Pasukan bertindak itu mahu mengambil pendekatan bersepadu untuk menjadikan gaya hidup sihat sebagai sebahagian daripada kehidupan rakyat Singapura.
Ini akan dilakukan menerusi tiga teras utama (3E):
1. Membuat perubahan pada sekitaran.
2. Memperkasa individu menerusi teknologi.
3. Mendampingi masyarakat menerusi khidmat-khidmat yang lebih cekap serta program-program yang lebih baik untuk mereka.
Pasukan Bertindak itu akan mengadakan sesi-sesi perbincangan awam dari bulan Januari hingga Mei tahun depan untuk mendapatkan idea dan mendatangkan inisiatif-inisiatif yang boleh menggalak kesihatan.
"Kami menanti maklum balas anda tentang bagaimana kita boleh terus sihat bersama-sama. Sertai kami dalam sesi-sesi perbicangan awam dari bulan Januari hingga Mei 2019 untuk berkongsi pandangan dan saranan anda," tambah Encik Amrin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.