Skip to main content

Singapura

Pasukan bertindak pemerintah kaji langkah bantu peniaga di utara SG jelang pembukaan Laluan RTS

Sebuah pasukan bertindak pemerintah sedang mengkaji sokongan yang disasarkan dan peningkatan infrastruktur bagi membantu para peniaga di utara Singapura menghadapi perubahan yang dijangka berlaku susulan pelaksanaan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura.
Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan bertindak pemerintah kaji langkah bantu peniaga di utara SG jelang pembukaan Laluan RTS

Menteri Negara Pembangunan Negara Alvin Tan bercakap kepada media di Kelab Masyarakat Marsiling pada 29 Okt 2025. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 30 Oct 2025 09:22AM Dikemas Kini : 30 Oct 2025 09:24AM
SINGAPURA: Sebuah pasukan bertindak pemerintah sedang mengkaji sokongan yang disasarkan dan peningkatan infrastruktur bagi membantu para peniaga di utara Singapura menghadapi perubahan yang dijangka berlaku susulan pelaksanaan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Bercakap kepada para wartawan selepas satu sesi libat urus dengan para penduduk dan peniaga di GRC Marsiling-Yew Tee pada Rabu (29 Okt), Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan berkata kebanyakan daripada program sedemikian sudah pun dilaksanakan di serata Singapura.

"Apa yang mungkin segar dan mungkin baharu ialah: bagaimana kita dapat menyesuaikan program-program ini dengan lebih baik mengikut keadaan di utara Singapura?" katanya.

Laluan RTS dijangka mula beroperasi pada penghujung 2026.

Di Singapura, ia akan bersambung secara langsung ke stesen MRT Woodlands North di Laluan Thomson-East Coast.

Di sekitar stesen Laluan RTS, ruang industri "fleksibel" baharu akan dibangunkan bagi perniagaan yang berminat untuk meneroka Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, kata Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos lalu.

Perumahan awam baharu turut dirancang, termasuk 4,000 flat berhampiran Taman Admiralty dan beberapa lagi rumah baharu di sepanjang tebing Woodlands.

PM Wong berkata pada Ogos lalu bahawa pemerintah merancang untuk menyegarkan semula kawasan utara Singapura dengan membina puluhan ribu rumah baharu dan rangkaian pengangkutan yang dipertingkatkan di Kranji dan Sembawang.

Apabila ditanya mengenai contoh-contoh khusus penambahbaikan yang dicadangkan bagi menarik para pengunjung ke kawasan itu, Encik Tan, yang juga Menteri Negara bagi Pembangunan Negara, berkata terdapat permohonan daripada para peniaga supaya diadakan lebih banyak kemudahan, termasuk kanopi, laluan berbumbung dan taman permainan.

Para penduduk dan peniaga juga menarik perhatian kepada keperluan bagi laluan atau tempat letak kereta tambahan untuk meningkatkan akses atau ketersambungan, katanya.

"Kami sedang meneliti secara terperinci untuk mengetahui apakah cabaran dan peluang khusus di utara Singapura, dan kemudian kami boleh menyesuaikan program-program negara khusus bagi kawasan utara Singapura."

Penambahbaikan infrastruktur itu "sama sekali tidak remeh" dan ia "sangat penting" kerana ia membantu menarik pelanggan ke perniagaan yang terletak di utara, kata Encik Tan.

Dengan pembukaan Laluan RTS dan kemudahan lebih besar untuk menyeberangi Koswe menggunakan kod QR, para pemilik kedai di Woodlands dan Marsiling khuatir bahawa pembangunan itu akan menjadikan Johor Bahru lebih menarik kepada para pelanggan di Singapura.

Sebuah pasukan bertindak untuk membantu rakyat Singapura dan perniagaan tempatan merebut peluang dan meraih manfaat daripada Laluan RTS itu, yang dipengerusikan oleh Encik Tan, diumumkan pada Mac lalu.

Pada Oktober, pasukan bertindak itu mengadakan lima sesi libat urus dengan 160 individu, termasuk penduduk, peniaga dan persatuan perdagangan, kata Encik Tan pada Rabu.

Para peniaga "secara wajar" bimbang tentang sama ada kemudahan yang disediakan oleh Laluan RTS akan menjejas perniagaan mereka secara negatif, katanya.

"Saya rasa ia adalah sangat wajar. Sama ada para pengunjung dari Malaysia akan berbelanja di kedai-kedai terutamanya di kawasan utara Singapura, dan sama ada rakyat Singapura, apabila mereka melancong, apabila ia lebih mudah untuk ke Johor, sama ada ia akan menyebabkan perbelanjaan lebih rendah," kata Encik Tan.

Keprihatinan itu "dijangkakan", katanya.

"Namun, mereka juga teruja dengan keupayaan lebih mudah untuk ke seberang tambak dan menarik lebih ramai pelawat ke Singapura, terutamanya di bahagian utara."

Pasukan bertindak itu akan menerbitkan laporan dengan saranannya pada separuh pertama 2026, kata Encik Tan.

Apabila sempadan ditutup semasa pandemik COVID-19, para peniaga di utara Singapura menyaksikan lonjakan dalam jumlah pelanggan kerana para penduduk hanya dapat berbelanja di kedai-kedai tempatan, kata Encik Zaqy Mohamad, yang merupakan salah seorang wakil Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Marsiling-Yew Tee.

Perniagaan melaporkan kemerotosan pendapatan sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus berbanding dengan tempoh sibuk semasa pandemik, katanya, sambil menarik perhatian bahawa para penduduk yang tinggal berhampiran kini melintasi sempadan bagi "memanfaatkan" tawaran produk dan perkhidmatan yang lebih murah.

Satu keprihatinan yang dibangkitkan adalah bagaimana untuk menarik para pengunjung dari Malaysia ke perniagaan tempatan ini, menariknya ke kedai-kedai runcit dan pusat-pusat penjaja di pusat-pusat kejiranan, kata Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran.

Walaupun menyeberangi Koswe untuk membeli-belah adalah menarik kerana barang yang dijual di sana "lebih murah" disebabkan oleh mata wang Singapura, pusat kejiranan "tidak boleh digantikan", kata seorang lagi Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, Hany Soh.

"Kemudahan di sana, hubungan yang terjalin selama beberapa tahun antara para penduduk dan peniaga, pergi ke pasar dan mengetahui bahawa anda berada di sana untuk membeli produk tertentu setiap minggu, semua ini adalah hubungan tidak ketara yang tidak dapat digantikan dengan mudah," katanya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita