Skip to main content

Singapura

Pasukan bertindak keandalan rel usul penutupan khidmat sepanjang hari untuk percepat kerja naik taraf MRT & LRT

Pasukan bertindak yang ditubuhkan untuk meneliti gangguan perkhidmatan MRT kebelakangan ini sudah mengemukakan cadangannya, termasuk mengesyorkan penutupan perkhidmatan sepanjang hari bagi mempercepat kerja-kerja pembaharuan.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Dec 2025 06:00PM Dikemas Kini : 11 Jan 2026 05:35PM

SINGAPURA: Pasukan bertindak yang ditubuhkan untuk meneliti gangguan perkhidmatan MRT kebelakangan ini sudah mengemukakan cadangannya, termasuk mengesyorkan penutupan perkhidmatan sepanjang hari bagi mempercepat kerja-kerja pembaharuan.

Pasukan bertindak itu, yang dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Ng Lang, ditubuhkan pada September untuk merangka huraian bagi meningkatkan keandalan rel serta maklum balas terhadap gangguan perkhidmatan MRT.

“Gangguan perkhidmatan tren dari Julai hingga September 2025 berlaku di pelbagai laluan MRT dan LRT, dan melibatkan sistem yang berbeza-beza seperti isyarat, bekalan kuasa dan tren,” menurut LTA, SMRT dan SBS Transit dalam satu kenyataan media bersama pada Selasa (30 Dis).

“Pasukan bertindak mendapati bahawa walaupun punca asas kejadian-kejadian tersebut tidak berkaitan, terdapat beberapa bidang yang boleh dipertingkatkan.”

Pasukan bertindak mengesyorkan agar pembaharuan tiga sistem teras rangkaian rel - tren, sistem isyarat dan bekalan kuasa - diberi keutamaan, selain memendekkan tempoh yang diambil untuk memperbaharui sistem-sistem tersebut.

“Bagi mencapai matlamat ini, lebih banyak waktu untuk kerja-kerja penyenggaraan perlu diperuntukkan, termasuk dengan menghentikan perkhidmatan sepanjang hari, supaya kerja-kerja tersebut dapat dilaksanakan dengan pantas, cekap dan selamat,” menurut LTA, SMRT dan SBS Transit.

Cadangan-cadangan lain termasuk:

  • Memperkenalkan sistem dan prosedur sandaran atau pintasan tambahan bagi membolehkan operasi tren diteruskan atau disambung semula dengan lebih cepat selepas berlakunya kerosakan kecil.
  • Memanfaatkan teknologi dan data untuk melaksanakan pemantauan keadaan yang lebih menyeluruh dan standard bagi seluruh rangkaian juga merupakan salah satu cadangan tersebut. Ini bagi membolehkan campur tangan yang lebih tepat pada masanya melalui penyenggaraan awal serta penggantian komponen-komponen kritikal.
  • Penggunaaan robotik dan automasi dengan lebih meluas untuk membantu tenaga kerja rel melaksanakan tugas penyenggaraan dengan lebih cekap.
  • Mempertingkat pilihan perjalanan alternatif untuk para penumpang, serta mengamalkan pendekatan yang lebih “tertumpu kepada penumpang” dalam membimbing para penumpang yang terjejas. Ini termasuk menyediakan maklumat yang lebih tepat, khusus, dan dalam masa nyata berhubung status sistem serta laluan perjalanan alternatif.

“Cabaran untuk mengendalikan dan menyenggara sistem rel akan terus meningkat sejajar dengan pertambahan saiz dan kerumitannya,” kata Encik Ng.

“Cadangan-cadangan ini akan membantu memberi panduan mengenai langkah-langkah selanjutnya untuk terus memperkukuh keandalan rangkaian rel kita.”

Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita