Pasukan bertindak ekonomi SG gesa graduan, pemohon kerja bersikap terbuka, teroka semua peluang
Para graduan baharu mungkin berasa bimbang untuk melangkah ke alam pekerjaan disebabkan oleh prospek ekonomi yang tidak menentu di masa hadapan.
Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Tan See Leng, bercakap kepada media di Pusat Media Nasional @ MDDI pada 10 Julai 2025. (Gambar: CNA/Tan Wen Lin)
Namun, mereka tetap harus bersikap terbuka dan mempertimbangkan semua peluang yang ada, kata anggota Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi Singapura (SERT) pada Khamis (10 Jul).
SERT ditubuhkan pada April lalu bagi membantu perniagaan dan para pekerja menangani kesan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata: "Kami mendengar, sebagai contoh, mengenai graduan baharu yang mungkin bimbang untuk mulakan kerjaya mereka di tengah-tengah masa tidak menentu ini.
"Kami faham kebimbangan mereka, tetapi kami mahu memberi mereka jaminan bahawa ada sokongan yang disediakan."
Institusi Pengajian Tinggi di Singapura juga mempertingkatkan sokongan mereka, manakala Workforce Singapore memperkenalkan khidmat bimbingan kerjaya bagi menghubungkan para pekerja muda dengan pakar-pakar industri.
"Pada masa yang sama, saya benar-benar ingin memohon kepada para graduan dan ibu bapa mereka supaya bertenang," kata Dr Tan sambil menambah beliau melihat 'sinar harapan' dalam data pekerjaan.
Kadar pekerjaan setakat Jun lalu adalah 51.9 peratus, berbanding 47.9 peratus pada Jun 2024, berdasarkan tinjauan awal Kementerian Tenaga Manusia, katanya.
Ini bermakna setakat Jun, kadar pekerjaan bagi kohort graduan 2025 adalah setanding, malah lebih tinggi sedikit berbanding statistik pada tahun lalu.
"Tetapi harap maklum, seperti yang saya katakan, ia masih awal lagi kerana anda hanya melihat berdasarkan gambaran yang sangat kecil," katanya.
Dr Tan juga berkata jawatan kosong bagi pekerjaan peringkat permulaan kekal stabil. Di sektor awam sahaja, terdapat 2,400 jawatan kosong sesuai bagi para graduan baharu, termasuk pekerjaan sebagai jurutera dan pembangun sofwe, katanya.
Pemerintah akan menganjurkan satu pameran kerjaya dalam sektor awam pada Ogos, katanya.
"Kepada para graduan 2025, pencarian kerja masih di peringkat awal. Kami menggalakkan semua orang supaya berfikiran terbuka terhadap peluang yang berbeza dalam pencarian pekerjaan mereka," kata Dr Tan.
Beliau turut menggesa syarikat-syarikat supaya memikirkan tentang bagaimana untuk memupuk para pemimpin masa depan dan melabur dalam pekerja muda.
"Walaupun saya fikir terdapat sedikit ketidaktentuan di masa hadapan, saya mahu tegaskan bahawa pada masa ini, kita tidak berada dalam krisis mahupun sedang mengalami kemelesetan," katanya, sambil menarik perhatian bahawa pasaran buruh secara umum kekal berdaya tahan, dengan lebih banyak jawatan kosong berbanding pemohon kerja.
Pada Mei dan April lalu, perkadaran firma yang berhasrat untuk mengambil atau menaikkan gaji dalam tempoh tiga bulan akan datang juga meningkat sedikit berbanding tempoh sebelum tarif dikenakan, katanya.
Selain meningkatkan akses kepada khidmat bimbingan kerjaya bagi para pekerja, pemerintah akan meningkatkan sokongan pembiayaan buat sementara waktu bagi pensijilan asas sumber manusia untuk syarikat.
"Kepimpinan HR yang kukuh adalah penting untuk membantu para majikan menguruskan dan menyokong tenaga mereka di tengah-tengah persekitaran yang tidak menentu," kata Dr Tan sambil menambah maklumat lanjut akan dikongsi kelak.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo berkata jumlah pekerjaan dan pengangguran masih dapat dikekalkan dengan baik, tetapi masih wujud pemahaman bahawa mungkin adanya "sikap konservatif tertentu" terhadap pengambilan pekerja disebabkan oleh ketidaktentuan sekarang.
Cik Teo berkata para pemimpin kesatuan sekerja memberi maklum balas bahawa sikap fleksibel adalah satu ciri-ciri yang harus dimiliki oleh para pemohon kerja, sama ada mereka graduan baharu atau sudah pun mula bekerja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.