Pasukan 4G bentuk agenda 'Maju S'pura', lakar hala tuju dekad seterusnya, kata Lawrence Wong
SINGAPURA: Pasukan generasi kempat atau 4G akan membangunkan agenda "Maju Singapura", sekali gus melakar hala tuju negara bagi dekad akan datang dan seterusnya.
Demikian menurut Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Ahad (1 Mei).
Berucap di Rapat Hari Buruh NTUC, Encik Wong berkata usaha itu akan "menyuntik kesegaran dalam kompak sosial kita".
Pasukan 4G akan mendampingi pihak-pihak berkepentingan dari kesatuan sekerja dan sektor swasta serta orang awam.
Ia akan menjadi "daya usaha utama" pasukannya, kata Encik Wong, dan bakal dirasmikan tidak lama lagi.
Encik Wong baru-baru ini diumumkan sebagai ketua pasukan 4G, sekali gus membuka laluan untuk beliau menjadi Perdana Menteri Singapura seterusnya.
"Kami mahu mendengar pandangan anda tentang ekonomi, jagaan kesihatan, perumahan, pendidikan dan banyak lagi bidang, termasuk bagaimana kami boleh terus menyokong dan mempertingkat kehidupan setiap pekerja. Kami akan menimbangkan apa yang perlu kami lakukan dengan cara yang berbeza, tetapi juga meneruskan apa yang sudah dilakukan dengan baik dan bagaimana kami boleh melakukannya dengan lebih baik," kata beliau.
"Biar saya jelaskan, ini bukan hanya tentang apa yang boleh Pemerintah lakukan untuk anda, tetapi juga - sepertimana yang kita pelajari sepanjang pandemik ini - apa yang boleh kita semua lakukan untuk satu sama lain dan bagaimana kita boleh secara bersama menyumbang ke arah membangunkan sebuah masyarakat yang lebih baik dengan nilai-nilai yang kita junjung."
Encik Wong menambah beliau mahu "penyertaan dan sokongan penuh" Gerakan Buruh untuk bekerjasama dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan rakan-rakan perikatan tiga pihak dalam usaha tersebut.
"NTUC menjadi lambang aspirasi dan keprihatinan semua pekerja kita. Kita tidak akan berada di sini tanpa NTUC dan kita tidak boleh berada dalam kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang tanpa sokongan anda."
SEGARKAN KOMPAK SOSIAL
Merujuk kepada kenyataan Belanjawan yang dibentangkannya awal tahun ini, Encik Wong menekankan perlunya untuk melakarkan cara baru ke hadapan bagi masa depan pasca pandemik.
Beberapa langkah diperkenalkan untuk melabur dalam kanak-kanak, membantu keluarga untuk memiliki rumah sendiri dan mempertingkat kehidupan pekerja bergaji rendah, kata beliau. Sumber-sumber tambahan juga disediakan kepada NTUC untuk meningkatkan usaha transformasi tenaga kerja.
Sekalipun demikian, masih ada "banyak lagi yang perlu dilakukan", ujar Encik Wong.
Pandemik COVID-19 dan perang Ukraine menjadi "titik peralihan penting dalam sejarah yang akan membawa kita ke dunia yang baru dan berbeza".
"Kita juga mempunyai generasi baru rakyat Singapura yang kian matang, dengan aspirasi dan jangkaan yang berbeza, termasuk keinginan bagi lebih banyak kerencaman serta lebih banyak sekatan dan imbangan," kata beliau.
"Ini bermakna kita mesti meneliti dengan lebih meluas objektif dan keutamaan kita: Pertimbangkan bagaimana kita mahu secara bersama memperbaharui dan mengukuhkan kompak sosial kita; bagaimana kita mahu menentukan misi kita membangunkan Singapura unutk masa akan datang."
MODEL TERSENDIRI PERIKATAN TIGA PIHAK
"Model tersendiri perikatan tiga pihak" Singapura ditubuhkan dalam tahun-tahun awal negara ini, di mana pihak kesatuan bekerjasama dengan Pemerintah dan majikan, dan perikatan tiga pihak menjadi "penggerak bersama" dalam pembangunan Singapura, ujar Encik Wong.
Hasilnya, perikatan tiga pihak kekal sebagai "tunjang cara Singapura".
"Kita mungkin mempunyai kepentingan yang berbeza, tetapi kita tidak bertelingkah antara satu sama lain untuk hanya menguntungkan satu-satu pihak," kata beliau.
"Sebaliknya, kita belajar untuk menyesuaikan, bertolak ansur dan mencari persamaan. Dalam proses itu kita jalin hubungan lebih erat antara satu sama lain, kita memperkukuh kepercayaan dan kita maju ke hadapan bersama-sama."
Encik Wong berkata ramai dalam kalangan seusia dengannya atau malah lebih muda tidak melalui tahun-tahun awal pembangunan Singapura, namun "meraih manfaat secara langsung" daripada perikatan tiga pihak.
Pengalaman yang kita lalui tidak melibatkan pertarungan politik dan rusuhan kaum pada tahun-tahun 1960-an. Sebaliknya kita secara langsung dapat merasakan bagaimana dasar-dasar sosial dan ekonomi progresif boleh mempertingkat kehidupan semua orang - tidak kira kaum, bahasa atau agama; tidak kira latar belakang sosial," kata beliau.
Menurut Encik Wong beliau datang dari latar belakang "keluarga biasa di kejiranan Marine Parade".
Beliau menukil apa yang dikatakan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat sekitar sedekad lalu - "setiap sekolah adalah sekolah yang baik" - sebagai "pengalaman sebenar" bagi dirinya. Beliau belajar di tadika PCF, Sekolah Rendah Haig Boys, Sekolah Menengah Tanjong Katong dan kemudian Maktab Rendah Victoria.
"Jadi saya boleh katakan kepada anda melalui pengalaman peribadi bahawa kita mesti terus memastikan setiap sekolah kekal sebagai sekolah yang baik di Singapura. Saya sudah melalui pengalaman meraih manfaat peluang inklusif dan sama rata," kata beliau.
Encik Wong turut menzahirkan penghargaan kepada golongan perintis yang membolehkan generasi beliau mencapai kehidupan lebih baik daripada ibu bapa mereka dan berharap untuk melakukan yang sama bagi generasi seterusnya bersama-sama pasukan 4G.
"Kami mahu generasi seterusnya juga meraih manfaat daripada peluang inklusif, banyak lagi laluan yang terus dibuka untuk mencapai kejayaan dan kepuasan bersama," ujar beliau.
PENGALAMAN PANDEMIK BANGKIT 'KEYAKINAN'
Sungguhpun demikian, terdapat "banyak perkara yang perlu difikirkan" sedang kita menuju ke masa depan, kata Encik Wong.
"Pandemik masih belum berakhir dan kita berdepan dengan cabaran-cabaran ekonomi yang besar. Pendigitalan dan automasi pesat pula mengganggu industri-industri kita. Hubungan tegang antara Amerika Syarikat dengan China boleh membawa keretakan dan memecahbelahkan aturan dunia," kata beliau.
"Di dalam negeri juga, kita harus menempuhi dengan isu-isu lain, termasuk jumlah penduduk yang semakin menua dan masyarakat yang kian rencam."
Meskipun cabaran-cabaran ini "bukan unik kepada Singapura", terdapat "cabaran serupa di negara-negara maju lain", yang mencetuskan keresahan dan ketegangan, tambah Encik Wong.
"Di banyak tempat, orang ramai memberikan tindak balas dengan mentaliti "kita berbanding mereka". Kemarahan disalurkan terhadap "mereka yang lain", dan kumpulan yang lain itu mungkin warga asing; mereka boleh juga terdiri dalam kalangan warga dari latar belakang etnik berbeza. Ahli politik pula mengeksploitasi kekecewaan pelbagai kumpulan untuk mencetuskan perbalahan dan memburukkan orang lain," kata beliau.
"Akibattya, seperti yang dapat kita lihat, banyak masyarakat ini berfikiran sempit, tidak bersatu padu dan berpecah belah."
Encik Wong turut akur bahawa memang sifat semula jadi penduduk, bimbang tentang masa depan Singapura, membandingkan negara ini dengan ekonomi-ekonomi lebih besar seperti Amerika dan Kesatuan Eropah yang juga bergelut untuk mencari hurian bagi maaslaah tersebut.
"Tentu sekali, tiada orang dapat memberi jaminan bahawa Singapura akan dapat menikmati keadaan yang baik dalam masa depan yang tidak menentu dan berubah-ubah. Tetapi apa yang memberi saya keyakinan adalah kita sudah mengharunginya dalam dua tahun kebelakangan ini," kata beliau.
"Kita kurang sumber berbanding negara-negara lebih besar dan perlu mengimport vaksin, makanan, tenaga dan banyak lagi bekalan penting. Namun kita berupaya menyesuaikan diri dengan pantas sedang kita mempelajari lebih banyak tentang virus itu dan bagaimana untuk melindungi diri dan sara hidup. Dan yang paling penting, sepanjang tempoh itu, kita terus yakin antara satu sama lain dan mengekalkan perpaduan dan kepercayaan antara satu sama lain.
Oleh itu, Singapura "memperoleh hasil yang baik" semasa pandemik, tambah Encik Wong.
"Kita kekalkan jumlah kematian akibat COVID-19 pada kadar paling rendah di dunia dan kita memastikan pengambilan pekerja dan pendapatan dapat pulih dengan pantas seperti paras sebelum COVID-19. Jadi pengajarannya perlu jelas kepada kita: Kita akan meraih lebih banyak lagi apabila kita berdiri bersama-sama sebagai sebuah masyarakat yang bersatu."
JALIN HUBUNGAN 'SIMBIOTIK' PAP-NTUC
Dalam satu sesi dialog yang dianjurkan Yayasan SG100, Encik Wong, berkata beliau berasa amat terdorong dengan "tekad dan daya bingkas" yang ditonjolkan oleh orang-orang muda.
Oleh kerana SG100 "masih jauh", beliau menyarankan agar SG75 diambil sebagai "tarikh penting yang lebih dekat".
"Menjelang 2040, saya berusia hampir 70 tahun. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak tahu sama ada PAP akan menang dalam Pilihan Raya Umum akan datang, apa lagi sama ada saya masih menyandang jawatan pada 2040. Namun saya beri jaminan, setiap apa yang mendatang, saya akan gunakan segenap kekuatan saya kepada gerakan ini, bersama-sama rakan-rakan pasukan 4G," kata beliau.
"Kami akan lakukan apa sahaja untuk memperkukuh hubungan simbiotik PAP-NTUC dan kerjasama perikatan tiga pihak kita, untuk terus memastikan Singapura istimewa dan membangunkan Singapura yang lebih baik pada SG75."
Meskipun "belum ada rangka tindakan bagi Singapura untuk masa akan datang", Encik Wong berkongsi bahawa beliau mahu melihat Singapura yang "lebih adil, menghijau dan inklusif yang boleh dengan bangga dipanggil negara kita".
"Sebuah negara di mana semua orang diterima dan dihargai dan dilayan sama adil dengan penuh hormat, tidak kira latar belakang mereka atau kedudukan dalam kehidupan. Sebuah negara di mana setiap orang boleh hidup dengan bermaruah dan maju dengan cara sendiri pada rentak sendiri, tidak kita titik permulaan mereka," ujar beliau.
"Untuk beralih daripada kehidupan ideal ke realiti akan memerlukan lebih banyak daripada setakat harapan peribadi saya sahaja. Ia melibatkan apa yang kita boleh dan mesti lakukan bersama-sama sebagai masyarakat."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.