Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pastikan anda periksa klinik GP yang ingin dikunjungi terima pesakit COVID-19

Pesakit COVID-19 kini boleh ke klinik GP untuk dapat cuti 5 hari. Jika anda mengesyaki diri anda dijangkiti virus itu, pastikan anda hubungi dahulu klinik yang ingin ada kunjungi. Sebabnya...

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika anda mengesyaki diri anda dijangkiti COVID-19 dan ingin ke klinik doktor keluarga (GP), pastikan anda menghubungi klinik dahulu dan bertanya jika ia dapat menerima pesakit COVID-19.

Sejak semalam (6 Jan) doktor GP boleh meletakkan pesakit COVID-19 yang tidak menunjukkan sebarang simptom atau mengalami gejala ringan sahaja, di bawah Protokol 2.

Pesakit sebegini cuma perlu mengasingkan diri di rumah selama sekurang-kurangnya 72 jam dan mendapatkan ujian pantas antigen (ART) negatif sebelum boleh keluar rumah. Mereka juga boleh mendapatkan cuti sakit lima hari dari doktor GP.

Dalam erti kata lain, doktor GP kini mempunyai "kuasa baru" kerana mereka sebelum ini hanya boleh menyuruh pesakit yang disyaki positif COVID-19 menjalani ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) di klinik Swab dan Hantar Pulang (SASH).

BERITAmediacorp bagaimanapun difahamkan, hanya GP yang tampil untuk berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (MOH) sahaja yang diberi "kuasa" sebegitu.

"Setiap klinik boleh memutuskan sama ada mereka akan mengambil bahagian kerana ia tidak wajib," jelas pengasas Asia First Medical Clinic, Dr. Md Faizal Wahid, kepada BERITAmediacorp.

"Ia bergantung kepada keperluan pesakit yang mereka jaga. Misalnya, jika sesebuah klinik itu ada ramai pesakit barah atau pesakit tua, mereka tidak akan mengambil bahagian kerana ia mungkin akan menjejaskan operasi mereka," kata beliau lagi.

Dr Faizal seterusnya menerangkan, sesebuah klinik itu perlu mempertimbangkan protokol-protokol baru sekiranya mereka memutuskan untuk menerima pesakit COVID-19.

Pengasas Asia First Medical Clinic, Dr. Md Faizal Wahid.

Sebagai contoh, klinik perlu mencari cara untuk memastikan interaksi antara pesakit COVID-19 dengan pesakit lain dihadkan sebaik-baik mungkin.

INI CARA KLINIK DR FAIZAL DIKENDALIKAN...

Dr Faizal sendiri menerima pesakit COVID-19 yang perlu dinilai sekiranya mereka boleh diletakkan di bawah Protokol 2. Langkah ini menurutnya, tidak banyak menjejas operasi kliniknya yang sudah lama memanfaatkan wadah-wadah digital.

Kliniknya antara lain menawarkan khidmat telekonsultasi bagi pesakit COVID-19 mahupun pesakit lain. Ini bermakna, para pesakit tidak perlu hadir ke klinik secara fizikal untuk mendapatkan nasihat doktor. Ubat-ubatan juga dihantar ke rumah para pesakit.

"Pengendalian telekonsultasi dan menghantar ubat ke rumah ini mengurangkan masa menunggu pesakit yang ada di klinik. Ini memainkan peranan pentinglah buat masa ini," terang Dr Faizal.

"Kita tidak mahu mereka berada di klinik terlalu lama, seperti menunggu untuk mengambil ubat," tambah beliau.

Di samping itu, klinik Dr Faizal membolehkan para pesakit yang ke kliniknya mendapatkan sijil cuti sakit (MC) dalam bentuk digital dan melakukan pembayaran digital. Semua ini, tegasnya, mengurangkan lagi masa yang diluangkan seseorang pesakit di klinik agar mereka tidak bergaul antara satu sama lain.

Lebih 10 peratus pesakit Dr Faizal sejauh ini disahkan positif COVID-19 dan diletakkan di bawah Protokol 2.

LANGKAH BOLEHKAN PESAKIT COVID-19 DIDIAGNOS DOKTOR GP SUATU "KEMUDAHAN"

Sementara itu, Dr Faizal menyifatkan pengumuman terbaru Pemerintah membolehkan doktor GP memutuskan sama ada pesakit boleh menjalani pemulihan di rumah, sebagai selangkah lebih dekat ke arah fasa endemik.

"Ini adalah satu kemudahan bagi pesakit-pesakit COVID-19. Sebelum ini doktor PHPC dan SASH sahaja yang dapat menguji, pesakit COVID. Dengan pengumuman terbaru ini, lebih ramai doktor dapat melakukan ujian menggunakan ART dan memberi nasihat perubatan selanjutnya," ujarnya.

Lebih penting lagi, pengumuman terbaru ini juga, kata Dr Faizal, akan ada kesan positif terhadap ekonomi negara. Ini kerana para pesakit COVID-19 sebelum ini perlu menjalani pengasingan selama antara 10 hingga 14 hari - dan bukan cuti sakit lima hari seperti sekarang di bawah Protokol 2.

"Kalau difikirkan, mungkin kalau 1,000 orang yang mendapat MC 10 hari dan kebanyakan daripada 1,000 orang itu, mungkin kebanyakan daripada mereka lepas 3 hari sebenarnya dah boleh balik bekerja. Anda boleh bayangkan, 3 hari kali 1,000 orang adalah 3,000 (waktu) hari bekerja di mana orang tidak dapat menjalankan tugas. Itu 1,000 orang. Kalau 10,000, 100,000 orang?"

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan