Skip to main content

Singapura

Pasport SG kekal paling berkuasa di dunia; Amerika terkeluar dari senarai 10 kedudukan teratas

Anggaran Waktu Membaca:
Pasport SG kekal paling berkuasa di dunia; Amerika terkeluar dari senarai 10 kedudukan teratas

(Gambar: Aaron Low/TODAY)

Diterbitkan : 16 Oct 2025 10:25AM Dikemas Kini : 16 Oct 2025 12:03PM

WASHINGTON: Buat pertama kalinya dalam 20 tahun, Amerika Syarikat tidak disenaraikan sebagai antara 10 pasport paling berkuasa di dunia, menandakan perubahan ketara bagi kuasa besar global itu.

Menurut Indeks Pasport Henley terbaharu - ranking bagi melihat berapa banyak negara yang boleh dilawati tanpa memerlukan visa - pasport Amerika Syarikat kini berada di tangga ke-12 di peringkat global, iaitu di kedudukan sama dengan Malaysia.

Tahun lalu, Amerika Syarikat berada di tempat ketujuh, sebelum jatuh ke tangga ke-10 pada Julai tahun ini.

Sepuluh tahun lalu, pasport Amerika berada di kedudukan teratas.

“Kuasa pasport Amerika Syarikat yang semakin merosot sepanjang dekad lalu bukan sekadar perubahan dalam kedudukan - ia mencerminkan peralihan asas dalam mobiliti global,” kata Christian H Kaelin, pengerusi Henley & Partners dan pencipta indeks tersebut, seperti dipetik The Guardian.

“Negara yang mengamalkan keterbukaan dan kerjasama sedang melangkah ke hadapan, manakala mereka yang bergantung pada keistimewaan masa lalu sedang ketinggalan.”

Negara Asia kini mendominasi kedudukan teratas.

SG KEKAL DI TANGGA PERTAMA

Singapura mengungguli senarai dengan akses tanpa visa ke 193 destinasi, diikuti dengan Korea Selatan dengan 190, dan Jepun dengan 189.

Henley & Partners, sebuah firma yang berpangkalan di London dan pakar dalam perundingan kewarganegaraan, sudah menyusun ranking ini selama kira-kira 20 tahun menggunakan data daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Kemerosotan dalam ranking Amerika Syarikat berlaku serentak dengan dasar imigresen dan perjalanannya yang lebih ketat di bawah pentadbiran Trump, yang pada awalnya menyasarkan penghijrahan tanpa kebenaran tetapi kemudian meluaskannya kepada tindakan tegas terhadap pelancongan, pekerja asing dan pelajar antarabangsa.

Faktor timbal balik (reciprocity) memainkan peranan penting dalam kedudukan sesebuah negara, menurut Henley & Partners, yang menunjukkan bahawa walaupun pemegang pasport Amerika kini boleh mengakses 180 destinasi tanpa visa, Amerika sendiri hanya membenarkan 46 kewarganegaraan lain memasuki negaranya tanpa visa.

Perubahan dasar kemasukan baru-baru ini turut menyumbang kepada kedudukan yang merosot secara umum, menurut laporan The Guardian.

Pada April, Brazil menamatkan kemasukan tanpa visa untuk warga Amerika, Kanada dan Australia, sambil merujuk kepada kekurangan timbal balik.

Beberapa negara sudah meluaskan dasar pengecualian visa, tetapi bukan untuk warga Amerika.

China dan Vietnam, misalnya, mengecualikan Amerika daripada senarai negara yang layak, yang baru diperluaskan, untuk pelancongan tanpa visa.

Menurut Henley & Partners, negara yang menawarkan kebebasan perjalanan yang luas kepada rakyatnya tetapi menghadkan kemasukan tanpa visa kepada orang luar - seperti Amerika, Kanada, Australia dan New Zealand - menyaksikan kekuatan pasport mereka merosot atau kekal tidak berubah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Penurunan mendadak dalam kedudukan ini turut mencetus keinginan dalam kalangan warga Amerika untuk memperoleh kewarganegaraan kedua, kata firma itu, menunjukkan bahawa kewarganegaraan tunggal Amerika mungkin tidak lagi mempunyai status “kuasa besar” seperti dahulu.

“Dalam tahun-tahun akan datang, lebih ramai rakyat Amerika akan mendapatkan kewarganegaraan tambahan dengan apa cara sekalipun,” kata Peter J Spiro, profesor undang-undang di Sekolah Undang-Undang Universiti Temple.

“Kewarganegaraan ganda (dual citizenship) kini sedang menjadi sesuatu yang normal dalam masyarakat Amerika," kata beliau, seperti dinukil The Guardian.

Sumber : Agensi berita/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita