Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasport palsu, kelayakan palsu: Bekas hartawan dilucutkan kerakyatan S'pura

Seorang hartawan yang pernah menjadi salah seorang lelaki terkaya di China dilucutkan kerakyatan Singapura kerana menggunakan pasport palsu untuk memasuki negara ini, dan menggunakan kelayakan palsu untuk menyokong permohonan kewarganegaraannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasport palsu, kelayakan palsu: Bekas hartawan dilucutkan kerakyatan S'pura

Mick Davies.

Diterbitkan : 06 Mar 2018 12:19AM Dikemas Kini : 06 Mar 2018 09:15AM

SINGAPURA: Seorang hartawan yang pernah menjadi salah seorang lelaki terkaya di China dilucutkan kerakyatan Singapura kerana menggunakan pasport palsu untuk memasuki negara ini, dan menggunakan kelayakan palsu untuk menyokong permohonan kewarganegaraannya.

Dalam siaran media pada hari Isnin (5 Mac), Kementerian Dalam Negeri menyatakan Mick Davies, 58 tahun, diberi Notis Pelucutan Kewarganegaraan. Dia memperoleh kewarganegaraan Singapura pada tahun 2002.

Dilahirkan di China sebagai Lan Shili, Davies menukar namanya kepada Jack Thomson pada tahun 2013 dan kemudiannya mengambil nama yang digunakan sekarang pada tahun 2014. Dia pernah dinamakan oleh Forbes sebagai orang terkaya ke-70 di China, melalui hasilnya dalam hartanah, pelancongan dan telekomunikasi.

Pada tahun 2010, Davies dipenjarakan di China kerana kesalahan mengelak membayar cukai. Enam tahun kemudian, dia disiasat oleh pihak berkuasa China kerana kesalahan menipu. Walaupun pasport Singapuranya telah ditahan oleh pihak berkuasa China, Davies melarikan diri dari negara itu secara haram dengan menaiki bot dan memasuki Vietnam secara haram.

Dia cuba mendapatkan dokumen perjalanan gantian di Kedutaan Singapura di Hanoi dengan mengisytiharkan bahawa dia telah hilang pasport Singapuranya.

Apabila Davies gagal mendapatkan dokumen perjalanan gantian, dia meninggalkan Vietnam untuk ke Singapura menggunakan pasport Hong Kong yang mengandungi nama orang lain.

Bagaimanapun, Davies ditangkap di Lapangan Terbang Changi kerana memasuki negara ini secara haram. Dia kemudian didakwa dan dihukum penjara lima bulan kerana beberapa kesalahan imigresen yang berkaitan dengan memasuki Singapura tanpa dokumen perjalanan yang sah. Rayuannya terhadap hukuman tersebut ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada November 2017.

Siasatan juga mendedahkan bahawa Davies telah menyediakan sijil pendidikan palsu untuk menyokong permohonan Kewarganegaraan Singapuranya pada tahun 2002. Dia kemudiannya didapati menyembunyikan dan gagal untuk mengisytiharkan dalam permohonan itu bahawa dia pernah memegang pasport dan kewarganegaraan negara ketiga.

"Pemerintah memandang amat serius terhadap orang yang melakukan penipuan, memberikan maklumat palsu atau menyembunyikan fakta penting semasa permohonan mereka untuk sebarang kemudahan imigresen Singapura, termasuk kewarganegaraan Singapura," kata MHA.

Mereka yang didapati berbuat demikian akan ditangani di bawah undang-undang, termasuk kemudahan imigresen mereka dilucutkan atau dibatalkan di bawah Perlembagaan dan Akta Imigresen.

Sumber : CNA/SU/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan