Skip to main content

Singapura

Pasport Lee Hsien Yang tidak pernah dirampas ICA

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penguasa Imigresen Singapura menyatakan pada Rabu (17 Mac) bahawa pasport Encik Lee Hsien Yang masih sah dan pihaknya tidak pernah cuba merampas dokumen tersebut.

Kenyataan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) itu dibuat sebagai menjawab pertanyaan media, di tengah-tengah tribunal disiplin bagi Cik Kwa Kim Li, peguam Perdana Menteri Pengasas Singapura Lee Kuan Yew.

Encik Lee Hsien Yang adalah anak lelaki mendiang Encik Lee Kuan Yew dan adik kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Satu laporan oleh tribunal disiplin, yang dikeluarkan pada 5 Mei, menyatakan bahawa Encik Lee Hsien Yang telah membuat permohonan untuk memberi keterangan menerusi pautan video. Ini kerana "pasportnya sedang dipegang oleh pihak berkuasa imigresen berkaitan dengan isu imigresen dan beliau tidak mungkin dapat pulang bagi perbicaraan berkenaan".

ICA menafikan dakwaan tersebut pada Rabu, sambil menekankan: "Pasportnya kekal sah sehingga ke hari ini dan tidak pernah dalam pemilikan ICA semasa atau menyusuli perbicaraan tribunal disiplin Cik Kwa Kim Li."

Tribunal tersebut mendapati Cik Kwa gagal melindungi kerahsiaan Encik Lee Kuan Yew semasa mengendalikan wasiatnya, dan telah memberi maklumat mengelirukan kepada Dr Lee Wei Ling dan Encik Lee Hsien Yang dalam kiriman emel yang dihantar sebagai respons kepada pertanyaan mereka.

Cik Kwa diarah membayar S$13,000 dan kos serta pembayaran kepada Encik Lee Hsien Yang dan Persatuan Guaman (LawSoc).
Encik Lee Hsien Yang dan isterinya, Cik Lee Suet Fern tidak berada di Singapura. Mereka meninggalkan negara ini setelah enggan menghadiri soal siasat polis pada Julai 2022 berkaitan dengan dakwaan berbohong dalam prosiding kehakiman mengenai wasiat mendiang Lee Kuan Yew.

ISU PASPORT DALAM LAPORAN TRIBUNAL DISIPLIN

Dalam laporannya, pihak tribunal menyatakan bahawa salah satu daripada isu yang timbul sebelum bermulanya perbicaraan ialah Encik Lee Hsien Yang telah memohon untuk memberikan keterangan melalui pautan video - permohonan yang ditolak oleh Cik Kwa.

Laporan tersebut bagaimanapun tidak menyatakan bila permohonan berkenaan dibuat, atau bila perbicaraan seterusnya diadakan.

Semasa satu perbicaraan video bagi permohonan itu, Encik Lee Hsien Yang memaklumkan bahawa beliau tidak dapat melakukan perjalanan disebabkan perkara di luar kawalannya, dan terdapat "aturan pentadbiran wajar dan kemudahan teknikal tersedia baginya untuk me,beri keterangan melalui pautan video".

Menurut tribunal tersebut, Encik Lee berkata bahawa beliau akan berdepan dengan "prejudis yang tidak adil" sekiranya permohonan tersebut tidak diluluskan.

Laporan tersebut selanjutnya mendedahkan: "Meskipun terdapat permintaan berulang kali oleh tribunal disiplin itu,peguam bagi (Encik Lee Hsien Yang) enggan menyatakan sebab pasportnya diambil, atau bila (Encik Lee Hsien Yang) menyerahkan pasport tersebut.

"Soalan terakhir ini penting kerana ia menyentuh persoalan sama ada ketidakupayaan Encik Lee Hsien Yang untuk melakukan perjalanan adalah perkara di luar kawalannya atau disebabkan oleh tindakannya sendiri."
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita