Pasir Ris West lancar kempen berbilang agensi tangani masalah tikus
Poster kempen RatFix! di Pasir Ris. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Kempen berbilang agensi dilancarkan di Pasir Ris West bagi menangani masalah tikus yang semakin meningkat di kawasan itu, dengan operasi malam, kawalan sisa makanan dan usaha pendidikan menjadi sebahagian daripada strategi di kejiranan itu.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah, yang juga penasihat kepada pertubuhan akar umbi GRC Pasir Ris-Changi, berkata pada Ahad (31 Ogos) bahawa kempen RatFix! adalah pendekatan yang diselaraskan, dengan tujuan untuk memutuskan bekalan makanan dan menghapuskan tikus di kawasannya.
Bercakap kepada media semasa pelancaran kempen itu di Elias Mall, Cik Indranee berkata: "Apabila saya dipindahkan ke Pasir Ris, saya mendapati terdapat jumlah tikus yang luar biasa banyak dan saya tertanya-tanya mengapa.
"Saya semak dengan majlis bandaran dan ia maklumkan bahawa terdapat lebih banyak lubang tikus di kawasan saya berbanding kawasan lain."
Beliau mengaitkan perkara ini dengan kewujudan banyak premis makanan di Pasir Ris West, yang sekali gus menyediakan sumber makanan bagi menarik tikus, serta pembinaan stesen MRT baharu yang sedang dijalankan di seluruh Pasir Ris, yang mungkin mengganggu lubang tikus dan menyebabkan haiwan itu berpindah.
Berbanding pendekatan "reaktif" yang biasa dilakukan iaitu menangkap tikus selepas menerima aduan, Cik Indranee berkata beliau ingin mengambil pendekatan awal dengan memahami punca masalah berkaitan tikus di kawasan itu dan kemudian membangunkan strategi.
Kempen tersebut akan mengambil pendekatan yang dikenali sebagai “Lima C” (Cutting, Clearing, Culling, Communication & Coordination):
1. Menyekat sumber makanan
2. Membersihkan lubang tikus
3. Menghapuskan tikus
4. Komunikasi dengan pihak berkepentingan
5. Penyelarasan antara agensi, penduduk dan pihak berkepentingan
Ia melibatkan kepakaran kolektif daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Agensi Makanan Singapura (SFA), Majlis Bandaran Pasir Ris-Changi dan pertumbuhan akar umbi tempatan.
Kumpulan akar umbi Pasir Ris West akan memimpin pelibatan masyarakat di sekolah dan kawasan perumahan.
HDB pula akan bekerjasama dengan penyewa dan pengendali makanan dan minuman untuk menguatkuasakan pengurusan sisa makanan yang betul.
Pencerna sisa makanan juga akan diperkenalkan di kawasan tong sampah premis komersial HDB, untuk mengurangkan sumber makanan bagi tikus.
Inisiatif baharu lain yang sedang diteroka di estet HDB Pasir Ris West termasuk percubaan tong sampah dengan penutup yang dibuka apabila dipijak, bagi mengelakkan keperluan untuk membuka penutup tong secara manual semasa membuang sampah.
Majlis Bandaran Pasir Ris-Changi akan meneruskan operasi di lapangan dan meningkatkan pemantauan.
NEA akan menyediakan sokongan teknikal dan berkongsi data tentang kegiatan tikus, manakala SFA akan memberi taklimat kepada pengendali makanan dan memantau pematuhan terhadap piawaian kebersihan.
MSO akan menyelaras maklum balas yang diterima melalui aplikasi OneService untuk menyokong perancangan dan penguatkuasaan.
Setiap agensi juga akan mempamerkan bahan pendidikan bertemakan pendekatan “Lima C” untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk.
NEA menyatakan pada 27 Ogos bahawa ia mengesan purata kira-kira 5,400 lubang tikus setiap dua bulan dalam separuh pertama 2025 di seluruh Singapura - hampir seganda daripada 2,800 lubang yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Dalam tempoh yang sama, NEA dan SFA melaksanakan 480 tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik premis atas kelemahan (lapse) berkaitan tikus, meningkat daripada 380 tahun lalu.
Cik Indranee berkata beliau berharap kempen RatFix! boleh dijadikan projek rintis bagi strategi nasional di kawasan lain yang menghadapi masalah tikus, walaupun beliau menyatakan bahawa kejayaan usaha di Pasir Ris West masih bergantung kepada kerjasama antara agensi berkaitan, penduduk dan pemilik perniagaan.
"Maklum balas utama yang saya terima (daripada penduduk) hanyalah bahawa mereka melihat tikus, dan bolehkah kita lakukan sesuatu mengenainya? Penyelesaiannya ialah 'Lima C', dan penyelesaian itu tidak boleh dilaksanakan oleh agensi semata-mata.
"Ia benar-benar memerlukan kerjasama penduduk dan para peniaga," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.