Skip to main content

Singapura

Pasaran sewa SG hambar; penyewa enggan bayar harga lebih tinggi, cari alternatif

Anggaran Waktu Membaca:
Pasaran sewa SG hambar; penyewa enggan bayar harga lebih tinggi, cari alternatif

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 06 Apr 2023 10:34AM Dikemas Kini : 06 Apr 2023 10:35AM
SINGAPURA: Kenaikan pada penyewaan rumah kelihatan semakin perlahan di tengah-tengah "perbezaan yang kian meningkat dalam jangkaan". Ini apabila para penyewa enggan membayar harga lebih tinggi sementara pemilik rumah pula keberatan untuk menurunkan harga dalam menghadapi kos yang meningkat.

Ejen-ejen hartanah yang dihubungi Mediacorp berkata mereka menerima pertanyaan yang semakin berkurangan daripada penyewa berpotensi untuk penyeneraian rumah sewa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta kondominium tahun ini.

"Sebab utama berkemungkinan kerana terdapat banyak kondominium baru yang sudah selesai dibina tahun ini dan sebilangan (projek) besar yang dijadual siap pada separuh kedua tahun ini," kata Encik Jack Sheo, seorang ejen PropNex.

"Kami menyaksikan keadaan di mana para penyewa mempunyai lebih banyak pilihan."

Anggaran kilat daripada portal-portal hartanah SRX dan 99.co minggu lalu menyatakan bahawa sewa kondominium meningkat sebanyak 3.5 peratus pada Februari. Sewa kondominium melonjak 36.2 peratus pada Februari berbanding setahun sebelumnya, menurut laporan tersebut.

Penganalisis hartanah bagaimanapun berkata bahawa kenaikan mungkin akan menjadi lebih perlahan tahun ini sedang pasaran tersebut melakukan penyesuaian.

Kedua-dua penganalisis hartanah ERA Eugene Lim dan Christine Sun dari OrangeTee & Tie menarik perhatian bahawa permintaan berkemungkinan akan mereda sepanjang setahun ini sedang lebih banyak flat HDB serta kondominium privet memasuki pasaran.

Penyewa yang sedang menantikan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru mereka untuk siap juga akan meninggalkan pasaran tersebut sejurus selepas rumah mereka selesai dibina, kata Encik Lim, yang merupakan pegawai eksekutif utama ERA.

PERBEZAAN YANG KIAN MENINGKAT DALAM JANGKAAN

Menurut Cik Sun, beliau memerhati perbezaan yang kian meningkat dari segi jangkaan antara penyewa dengan pemilik rumah di tengah-tengah harga sewa tinggi yang menjadi perhatian tahun lalu.

"Kebanyakan pemilik rumah berpegang teguh pada harga sewa yang diminta sementara penyewa menentang kenaikan harga sewa tersebut," jelas naib presiden kanan penyelidikan dan analisis di OrangeTee & Tie.

Ejen Propnex, Encik Sheo, berkata bahawa sesetengah pemilik rumah, setelah melihat laporan mengenai kenaikan tinggi pada harga sewa, juga "terbawa-bawa" untuk meminta harga sewa yang lebih tinggi.

"Ia mungkin akan mengambil seketika waktu sebelum mereka menyedari bahawa unit mereka mengambil masa yang lama untuk dijual, kemudian mereka akan mula menyesuaikan jangkaan mereka," kongsi Encik Sheo.

Namun, Cik Sun menarik perhatian bahawa pemilik rumah menghadapi peningkatan kos yang berpunca daripada yuran penyenggaraan, cukai hartanah dan pembayaran gadai janji yang lebih tinggi.

 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita