Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasaran pekerjaan kukuh, syarat pinjaman ketat akan kurangkan kesan kenaikan kadar faedah, kata penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
Pasaran pekerjaan kukuh, syarat pinjaman ketat akan kurangkan kesan kenaikan kadar faedah, kata penganalisis

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Ketika bank mengumumkan mengenai kenaikan kadar faedah pinjaman rumah, Cik Siti (bukan nama sebenar) menjadi bimbang sama ada kadar tersebut akan terus meningkat, sekali gus menjejas perbelanjaan bulanan keluarganya.

Penjual hartanah yang berusia 32 tahun itu, pada mulanya mengambil pinjaman dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi flat empat bilik jualan semulanya. Beliau kemudian menyusun semula pinjaman sebanyak S$260,000 dengan bank bagi tempoh 25 tahun yang menawarkan kadar terapung sebanyak 1.3 peratus, dikaitkan dengan Kadar Purata Semalaman Singapura (SORA) berkompaun tiga bulan.
 
SORA adalah tanda aras purata kadar faedah yang digunakan bank dalam menentukan kadar terapung pinjaman yang dikenakan kepada peminjam.

Suami Cik Siti, yang bekerja sebagai seorang guru, membuat pembayaran sebanyak S$1,081.75 sebulan, pada kadar faedah 1.8688 peratus. Pendapatan bulanan pasangan suami isteri itu secara keseluruhannya adalah S$11,000.

Meskipun suaminya masih mampu membuat bayaran bulanan menggunakan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), pasangan tersebut masih risau mengenai kadar faedah yang terus meningkat.

PEMILIK RUMAH DIBELENGGU TEKANAN GADAI JANJI, BEBAN KEWANGAN

Pemilik rumah yang dihubungi Mediacorp, berkongsi bahawa mereka sudah mula merasakan tekanan ekoran kenaikan kadar faedah pinjaman rumah, sejak bank di Singapura meningkatkan kadar pinjaman rumah tetap sehingga 4.5 peratus, iaitu yang tertinggi sejak hampir dua dekad lalu.

Pun begitu, penganalisis berkata mereka tidak bimbang tentang keadaan di mana rumah seorang peminjam itu dirampas, akan meningkat dalam jangka masa terdekat.

Ini kerana pasaran pekerjaan masih kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah. Dengan itu, pemilik rumah masih boleh mencari pekerjaan dan meraih pendapatan secukupnya untuk membiayai pinjaman rumah mereka.

Selain itu, syarat-syarat pinjaman yang ketat di Singapura memastikan pemilik rumah tidak membuat pinjaman melebihi kemampuan mereka.

Indeks Kesejahteraan Kewangan OCBC 2022 yang dikeluarkan pada Selasa (22 Nov) menunjukkan bahawa 40 peratus orang dewasa yang bekerja di Singapura, berkata mereka mengalami beberapa bentuk tekanan gadai janji. Tinjauan tersebut melibatkan 2,182 individu dalam lingkungan usia 21 dan 65 tahun.

Tekanan gadai janji, menurut bank, merujuk kepada kesukaran untuk membuat bayaran.

Kesukaran ini mempunyai tahap yang berbeza-beza. Ini termasuk mampu membuat pembayaran tetapi menghadapi beberapa kesukaran hingga kepada tahap terpaksa menjual hartanah mereka atau berpindah ke rumah yang lebih kecil.

Dalam kalangan 40 peratus individu yang mengalami tekanan gadai janji, tujuh daripada setiap 10 daripada mereka mempunyai pinjaman HDB.

Laporan tersebut juga menunjukkan bahawa dalam kalangan 40 peratus itu, satu daripada setiap empat yang ditinjau mempunyai pendapatan peribadi bulanan kurang daripada S$4,000.

KESAN TERHADAP PEMILIK RUMAH DALAM JANGKA PANJANG

Meskipun kadar faedah telah meningkat, ia tidak akan memberi kesan yang ketara kepada pemilik rumah dalam jangka pendek, kata Encik Chris Koh, pengarah agensi hartanah, Chris International.

Namun demikian, isi rumah akan terjejas teruk sekiranya kadar faedah terus meneningkat lebih tinggi, yang berkemungkinan terjadi.

"Jika kadar faedah naik lebih tinggi, sehingga bayaran ansuran naik kira-kira S$1,000, saya rasa orang ramai mungkin mahu mempertimbangkan untuk menjual hartanah mereka dan berpindah ke rumah yang lebih kecil," jelas Encik Koh.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan